Menteri Keselamatan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein apabila ditanya tentang isu kebocoran data sensitive 22.5 juta rakyat Malaysia, dia cuma katakan yang keselamatan negara tidak terjejas.
Data sensitif, seperti namanya perlulah dikendalikan secara peribadi. Sekiranya tidak peribadi, kenapa Menteri Keselamatan tidak berkongsikan nombor akaun banknya berapa gajinya, berapa asetnya, kepada orang awam?
Apa yang berlaku?
Buat anda yang terlepas berita, 17 Mei 2022 lalu, portal bahasa Inggeris kami telah laporkan kemungkinan terdapatnya kebocoran data dua agensi kerajaan yang merangkumi lebih 22 juta rakyat Malaysia.
Kebocoran pertama adalah rekod pendaftaran daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Data yang dijual dalam pasaran gelap adalah seperti nama penuh, nombor IC, nombor telefon, alamat penuh, jantina, kaum, agama, dan gambar kad pengenalan, rakyat yang lahir antara 1940 hingga 2004.
Set data ini dipasarkan pada harga USD10,000 (RM43,950).
Kebocoran kedua adalah rekod pendaftaran pilihanraya daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Data yang dijual dalam pasaran gelap adalah gambar kad pengenalan dan gambar orang mengambil selfie sambil memegang kad pengenalan.
Set data ini dipasarkan pada harga USD2,000 (RM8,780)
Namun begitu, Hamzah Zainudin pada 18 Mei 2022 mengatakan yang kebocoran tersebut tidak datang dari JPN manakala tiada kenyataan rasmi masih ada untuk SPR.
Bagaimana pihak kerajaan katakan yang ini bukan isu keselamatan?
Tidakkah mereka maklum tentang skandal Cambridge Analytica di Malaysia?
Orang yang ada kuasa ini, sama ada mereka betul-betul tidak tahu atau mereka tahu tapi buat-buat tidak tahu. Ini untuk yang betul-betul tidak tahu.
Sekiranya anda seorang pengikut setia portal ini, dalam tahun 2018 kami ada laporkan tentang skandal Cambridge Analytica. Ada seorang whistleblower yang memecahkan tembelang Facebook tentang penjualan data 50 juta akaun pengguna kepada pihak ketiga iaitu Cambridge Analytica.
Entiti ini melakukan analysis terhadap data tersebut dan menghantar propaganda secara terancang kepada pengguna-pengguna Facebook bagi mempengaruhi keputusan pilhan raya..
Bekas Presiden A.S, Donald Trump dipercayai antara yang beroleh manfaat. Dalam tahun 2019, Facebook telah didenda RM20.56b kerana didapati bersalah.
Bukan setakat itu, dalam satu video terbocor satu ketika dahulu, wakil Cambridge Analytica turut berkongsikan mereka pernah melakukannya beberapa kali di negara lain.
Mereka berbangga telah beroleh hasil yang memuaskan di Africa, Mexico, Malaysia, dan pada ketika itu mereka sedang bekerja di Brazil. Anda boleh ke minit ke 5:50 video di bawah untuk buktinya.