Peminat permainan video di telefon pintar, pastinya mengimpikan telefon pintar Asus ROG Phone sebagai salah satu peranti kegemaran mereka. Tidak lama lagi, Asus akan melancarkan model terbaru telefon pintar gaming mereka, ROG Phone 6.
Majlis pelancaran ROG Phone 6 akan diadakan pada hari Selasa, 5 Julai 2022 pukul 8 malam waktu Malaysia. Ia akan diadakan secara atas talian sahaja, jadi orang ramai boleh turut sama menontonnya.
Dijangkakan tarikh penjualan dan harga untuk pasaran Malaysia, akan turut diumumkan sejurus pelancaran antarabangsa ini berakhir. Pastinya hadir dengan promosi seperti hadiah percuma atau diskaun.
Spesifikasi Asus ROG Phone 6
Walaupun masih jauh dari tarikh pelancaran, Asus telah berkongsi beberapa maklumat penting mengenai telefon pintar ini. Antaranya adalah penggunaan cip terbaru Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 5G, yang baru sahaja diumumkan. Ini menjadikan ROG Phone 6 antara peranti pertama dikuasakan cip ini.
Di samping itu, ROG Phone 6 akan dilengkapi paparan Samsung AMOLED, yang memiliki kadar penyegaran setinggi 165Hz. Ia adalah naik taraf daripada ROG Phone 5s yang dilengkapi skrin AMOLED 144Hz.
Asus turut menyatakan bahawa telefon ini akan menghasilkan kuasa luar biasas, pengurusan haba yang amat dingin, dan kawalan di luar batasan. Ia juga akan tampil dengan rekaan, prestasi dan aksesori serba baharu untuk memberi pengalaman bermain game terbaik.
Untuk rujukan, ROG Phone 5s yang lepas memiliki skrin sebesar 6.78-inci, bateri 6,000mAh serta pengecasan patnas 65W. Ia juga datang bersama tiga kamera belakang, kamera hadapan di bingkai untuk skrin penuh tanpa takuk dan lubang, dua speaker stereo menembak ke hadapan, serta butang bahu ultrasonik AirTrigger.
Selain itu, ROG Phone 5s tahun lepas dilancarkan pada harga RM2,999 (8+128GB) dan RM3,799 (16GB+256GB), serta versi Pro yang berharga RM4,999 (18GB + 512GB).
Adakah ROG Phone 6 yang baru akan diberikan tanda harga bermula di bawah RM3,000? Nantikan berita lanjut daripada kami di hari pelancaran kelak.