Proton X70 adalah kenderaan segmen C paling laris di Malaysia sejak pengenalannya dalam tahun 2020. Bagi mengekalkan momentum itu, Proton telah memperkenalkan varian 2022 dengan beberapa perubahan. Proton X70 (2022) kalau dilihat secara kasar, seperti tiada perubahan berbanding model lama, tapi kalau diamati betul-betul, memang ada.
Proton X70 kini ada varian 1.5L TGDi 3 silinder seperti Proton X50
Proton X70 yang gunakan enjin X50 sudahpun ditawarkan di dalam pasaran Nepal dan Pakistan terlebih dahulu. Baru kini ia tiba di Malaysia. Enjin 1.5: TGDi 3 silinder ini menghasilkan kuasa pada paras 177PS (175hp) dengan tork setinggi 255Nm.
Untuk perbandingan, enjin 1.8L TGDi 4 silinder pada Proton X70 menghasilkan 184PS (181hp) dan tork 300Nm.
Varian 1.5L dalam keluarga Proton X70 ditawarkan dengan alasan ia lebih jimat minyak berbanding varian 1.8L. Salah satu sebabnya adalah enjin lebih kecil ini mampu mencapai kuasa maksimum pada 1,500 rpm berbanding 1,750 rpm pada enjin yang lebih besar.
Lebih menarik, enjin 1.5L kini dipasang di Tanjung Malim.
Walaupun enjin lebih kecil, perbezaan kuasa dengan enjin 1.8L Cuma 6hp sahaja. Malahan, enjin itu lebih berkuasa berbanding enjim BMW 218i Grand Coupe M Sport yang ada angka kuasa 138hp dan tork 220Nm.
Enjin lebih kecil menurunkan berat badan Proton X70 sebanyak 50kg berbanding varian 1.8L (1,585kg vs. 1,635kg) yang pastinya turut menyumbang kepada penjimatan bahan api.
Semua varian X70 dilengkapi dengan sistem transmisi dwiklac basah 7 kelajuan.
Penawaran warna tidak berubah
Proton X70 (2022) menawarkan pilihan warna yang sama seperti sebelumnya. Anda ada Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ruby Red, Cinnamon Brown, dan Space Grey.
Di bahagian kabin, model Standard menerima kerusi berkemasan fabrik manakala Executive ada kemasan kerusi Black Leatherette dan Premium hadir dengan kemasan Brown Nappa Leather.
Varian AWD ditawarkan semula
Proton X70 AWD pernah ditawarkan sewaktu versi CBU negara China dibawa masuk. Namun, selepas versi CKD ada, mereka telah hentikan penawaran varian AWD. Kini, pilihan AWD kembali dan harganya RM5,800 lebih tinggi berbanding pilihan 2WD. Cumanya, AWD hanya ada untuk varian 1.5L dan bukannya 1.8L.
Menurut Proton, X70 AWD menggunakan sistem pintar yang membolehkan transmisi menyesuaikan tork yang dihantar kepada tayar belakang mengikut keperluan. Komponen tambahan ini telah menambah 50kg lagi pada berat kenderaan yang menurut pengeluarnya akan memberi kesan kepada penggunaan bahan api.
Jadi, sekiranya anda gunakan X70 untuk pemanduan bandar, varian 2WD adalah lebih praktikal.
Perubahan kosmetik di beberapa tempat
Daripada teaser yang dikongsikan, Proton X70 (2022) mengambil sedikit ilham daripada X70 SE yang diperkenalkan dalam tahun 2021. Contohnya, edisi 2022 ada rim 19”, sistem infotainment bersaiz 8” yang sokong 4G dan WiFi. Malangnya, ia masih tak menyokong Apple CarPlay ataupun Android Auto.
Sebanyak 6 port USB bertebaran disekitar kereta untuk kegunaan anda. Di bahagian luar, ada beberapa bahagian yang diwarnahitamkan seperti gril depan dan cermin pandang sisi.
Kesemua varian beroleh lampu projektor LED kecuali Standard yang masih menggunakan lampu halogen. Mujurlah semuanya dilengkapi ciri but belakang elektrik tapi model Premium ada sensor kaki untuk membukanya.
Logo Proton baharu juga digunakan pada kenderaan ini dan jika anda rujuk kepada materi pengiklanan, agak sukar untuk mengecam antara varian 1.5L dan 1.8L dari jauh.
Ciri bumbung lutsinar (sunroof) ditawarkan untuk varian 1.8 TGDi Premium 2WD sekiranya anda perlukannya. Varian ini RM3,900 lebih mahal berbanding varian 1.5 TGDi Premium 2WD.
Kerusi depan dengan fungsi pengudaran aktif berkipas dulunya hanya ditawarkan pada varian Premium. Kini ia turut ditawarkan bermula varian Executive. Malangnya, tiada butang fizikal untuk mengawal kipas tempat duduk ini, sebaliknya butang itu berada dalam sisten infotainment.
Tiada naik taraf pada sistem keselamatan
Kalau anda harapkan ada tambahan ciri keselamatan pada Proton X70 (2022), jangkaan anda meleset. Ia masih mengekalkan barisan ciri keselamatan daripada generasi sebelumnya. Anda terima:
- Autonomous Emergency Braking (AEB)
- Adaptive Cruise Control (ACC)
- Lane Depature Warning (LDW)
- Blind Spot Monitoring (BLIS)
Sebagai perbandingan, Proton X50 terima ciri keselamatan lebih banyak seperti Lane Keep Assist dan Intelligent Adaptive Cruise Control.
Mrentasi varian, setiap Proton X70 hadir dengan 6 beg udara, ABS, EBD, ECS, TCS, HHA, HDC. Varian Executive dan keatas pula terima satu ciri tambahan iaitu kamera 360 darjah manakala Executive AWD terima TPMS.
Harga Proton X70 (2022) di Malaysia
Berikut adalah harga rasmi Proton X70 (2022) di Malaysia:
- 1.5 TGDi Standard 2WD – RM93,900
- 1.5 TGDi Executive 2WD – RM105,500
- 1.5 TGDi Executive AWD – RM111,300
- 1.5 TGDi Premium 2WD – RM117,900
- 1.8 TGDi Premium 2WD – RM121,800
Harga yang disenaraikan masih tidak merangkumi insurans dan sah di Semenanjung Malaysia sahaja dan telah ditolak dengan SST sehingga 30 Jun 2022.Kereta ini dilindungi 5 tahun jaminan tanpa had perbatuan, kuota internet 1GB/bulan untuk 5 tahun, dan 3 kali percuma untuk kos buruh.
Sekiranya berminat, tempahan boleh dilakukan secara dalam talian dengan bayaran RM99 sahaja.