Tidak dapat dinafikan bahawa gelang pintar Xiaomi merupakan penjejak kecergasan paling popular di dunia. Hari ini mereka mengumumkan ketibaan model terbaru, Xiaomi Smart Band 7 ke Malaysia.
Mi Smart Band 6 yang dilancarkan lebih setahun lepas, sudah memiliki terlalu banyak fungsi canggih penjejak kecergasan. Jadi, apa lagi yang boleh ditambah ke dalam Smart Band 7 ini? Menurut Xiaomi, Smart Band 7 dinaik taraf dengan skrin 25% lebih luas. Ia juga kini boleh menjejak tahap VO2 max pengguna untuk pemantauan kecergasan yang lebih mendalam.
Harga dan promosi jualan
Xiaomi Malaysia akan mula menjual Smart Band 7 pada hari Sabtu, 25 Jun 2022. Ia boleh didapati di Stor Xiaomi di Lazada dan Shopee, serta di kedai fizikal Mi Store di seluruh Malaysia.
Harga jualan rasmi Smart Band 7 telah ditetapkan pada RM199. Tetapi pembeli terawal boleh mendapatkannya dengan diskaun RM30, iaitu RM169 sahaja. Tawaran ini tersedia selagi stok masih ada.
Spesifikasi Xiaomi Smart Band 7
Skrin AMOLED yang menawan di Smart Band 7 lebih besar, berukuran 1.62-inci dengan kepadatan piksel 167 PPI. Tahap kecerahan pula boleh mececah 500 nits dan ia boleh sentiasa hidup. Seperti biasa, terdapat lebih 100 muka jam boleh ditukar sesuka hati pengguna.
Sensor yang biasa didapati di penjejak kecergasan terdapat di Smart Band 7 ini, seperti penjejak langkah, pengesan denyutan nadi, pemantau waktu tidur, kandungan oksigen SpO2 dan banyak lagi. Tetapi tambahan yang baru dimasukkan adalah pengesan VO2 max.
Dengan ini, pengguna boleh mendapatkan analisa aktiviti kecergasan dengan lebih mendalam, seperti tahap tekanan aktiviti, masa untuk pulih dan kesan latihan. Jadi latihan atau rehat seterusnya boleh ditetapkan untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.
Pengguna tidak perlu risau akan peluh kerana Smart Band 7 kalis air 5ATM. Bermakna, ia juga boleh digunakan untuk memantau aktiviti di kolam renang, seperti berenang dan menyelam. Hayat bateri juga masih kekal panjang, sehingga 14 hari untuk penggunaan biasa.
Xiaomi Smart Band 7 dijual dengan tali berwarna hitam. Tetapi pengguna kini mempunyai lebih pilihan untuk mendapatkan tali rasmi, dengan warna biru, oren, merah jambu, putih dan hijau. Malah, ada warna lebih ranggi disediakan iaitu hijau neon, oren neon, hijau khaki dan biru khaki.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Xiaomi Smart Band 7.