Poco, jenama telefon yang dilihat lebih murah daripadanya Xiaomi kerana banyak menjenamakan semual telefon keluaran Xiaomi, telah mengumumkan akan melancarkan dua telefon pintar baru pada minggu pertama September. Kali ini Poco tidak berselindung tentang namanya. Dua telefon tersebut adalah Poco M5 dan Poco M5s.
Majlis pelancaran Poco M5 dan Poco M5s akan diadakan pada hari Isnin, 5 September 2022 pukul 8 malam. Orang ramai boleh menonton siaran langsung pelancaran ini menerusi saluran rasmi Poco iaitu Facebook, Twitter dan YouTube.
Buat masa ini, masih belum ada sebarang spesifikasi rasmi Poco M5 dan Poco M5s dikongsi. Malah tiada juga gambar mengenainya. Jika Poco mengikut jejak Xiaomi dalam menamakan model telefon, bermakna Poco M5s adalah peranti yang lebih hebat daripada Poco M5.
Manakala di India, Poco India telah mengesahkan akan melancarkan Poco M5. Turut kelihatan gambar penuh Poco M5, tetapi ia nampak sangat serupa dengan Poco M4 5G yang baru dilancar di Malaysia bulan ini.
Adakah ini satu lagi langkah ‘malas’ Poco melancar model baru? Pada Poco M4 5G, ia ada spesifikasi yang serupa dengan Poco M3 Pro, tetapi dengan rupa baru. Mungkin Poco M5 guna rupa yang sama tetapi perkakas dalam yang berbeza?
Dalam khabar angin lain, dikatakan Poco M5 akan dikuasakan cip Mediatek Helio G99, bersama RAM sehingga 6GB dan storan dalaman sehingga 128GB. Ia akan diberikan bateri 5,000mAh, sokongan pengecasan pantas 33W dan pengimbas capjari di sisi.
Mengenai Poco M5s, masih menjadi misteri. Adakah benar ia peranti lebih hebat daripada Poco M5? Guna cip Helio atau Dimensity?
Perkara ini akan diketahui sepenuhnya pada 5 September nanti. Tunggu laporan daripada kami kelak.