DJI, melalui rakan bersama mereka Aonic telah melancarkan Mavic 3 Enterprise untuk pasaran Malaysia. Bukan setakat dron, Aonic turut mengumumkan yang mereka ialah yang pertama di Malaysia dilantik DJI untuk menubuhkan Pusat Servis Bertauliah DJI Enterprise.
Ada beberapa perkara menarik tentang pertauliahan itu, tapi kita fokuskan dulu pada dron yang baru dilancarkan ini.
Harga Mavic 3 Enterprise
Harga rasmi DJI Mavic 3 Enterprise di Malaysia adalah seperti berikut:
- DJI Mavic 3E – RM14,800
- DJI Mavic 3T – RM21,800
Ya, memang harganya mahal tapi perlu diingatkan yang ini adalah solusi untuk enterprise. Ia didatangkan dengan aksesori serba langkap seperti bilah tambahan dan bekas penyimpanan tahan lasak.
Solusi enterprise juga biasanya didatangkan dengan cakupan jaminan yang menyeluruh dan pusat servis untuk produk dalam kategori enterprise adalah tidak sama dengan produk pengguna biasa.
DJI Mavic 3: Maklumat penjualannya di Malaysia
DJI membayangkan dron ini digunakan oleh pihak-pihak keselamatan seperti melakukan tinjauan udara sewaktu operasi menyelamat. Selain itu, aktiviti pengukuran tanah juga adalah salah satu lapangan yang ingin difokuskan DJI untuk dron ini kerana ia dilengkapi komponen mencerap yang sangat jitu.
Spesifikasi Mavic 3 Enterprise
Model terbahagi kepada dua varian iaitu Mavic 3E dan Mavic 3T. Beza mereka adalah pada bahagian beban kamera yang dibawa. Tapi sebelum itu, kita cerita dulu pasal bahagian pesawat kerana mereka berkongsi komponen yang sama.
Waktu terbang model kali ini adalah sehingga 45 minit bergantung kepada keadaan angin. Ia adalah 45% lebih lama berbanding Mavic 2E sebelum ini.
Kemudian, sistem keselamatan nyata telah ditambah baik. Drone ini dilengkapi sistem Omnidirectional Binocular Vision untuk mengelakkan pelanggaran yang tidak diingini. Sistem itu juga dibantu oleh sensor inframerah di bahagian bawah pesawat untuk lebih keselamatan.
Suapan video dihantar kepada alat kawalan menggunakan protokol baharu iaitu DJI O3 Enterprise Transmission dengan jarak maksimum komunikasi mencecah 15km (FCC). Alat kawalan DJI RC Pro baharu dibangunkan khas untuk model kali ini dan ia pastinya akan jadi ruji kepada dron-dron enterprise yang akan datang.
Mavic 3E adalah varian yang hampir serupa spesifikasinya dengan Mavic 3 Pro. Bezanya adalah kelengkapan videonya tidak ditandakan dengan cap Hassleblad. Mavic 3E ada kamera utama 20MP yang menggunakan sensor MFT (4/3) kemudian kamera sekundernya adalah kamera 12MP.
Mavic 3T miliki kelengkapan pengimejan yang lebih versatil. Kamera utama dron ini memiliki sensor 1/2″ dengan bilangan megapiksel pada paras 48MP walupun saiz sensor lebih kecil berbanding kamera 3E.
Kemudian, Mavic 3T tidak ada kamera zum sebaliknya ia digantikan oleh kamera termal Uncooled VOx Microbolometer. Kamera ini mempunyai kadar segar semula setinggi 30Hz dan mampu mengezum 28 kali secara digital.
Kelebihan Mavic 3T yang seterusnya berbanding yang lain adalah ia dilengkapi komponen Real Time Kinematics (RTK). Komponen ini memberikan kejituan pengukuran dalam julat sentimeter berlandaskan data satelit dan semuanya berlaku secara masa nyata (real-time).
Aonic yang pertama ditauliahkan untuk jadi pusat servis produk DJI Enterprise di Malaysia
Ini adalah satu perkembangan yang sangat baik untuk landskap dron enterprise di Malaysia. Tanpa pusat servis bertauliah, segala jenis penyelengaraan yang memerlukan kepakaran DJI, dron perlu dihantar ke China, termasuklah hal-hal berkaitan jaminan.
Mengikut maklumat yang dikongsikan, proses pembaikan dron tanpa pusat servis bertauliah mengambil masa sehingga 8 minggu lamanya dan melibatkan kos tinggi kerana ia meliputi bayaran logistic.
Dengan pusat servis bertauliah, semua itu boleh dipendekkan kepada sehingga 3 hari dengan penjimatan kos logistik yang signifikan.
Aonic turut memaklumkan dron yang berada di luar tempoh jaminan ataupun yang tidak dibeli melalui Aonic turut boleh dibaiki di sana. Setakat ini, ada 7 cawangan pusat servis Aonic di seluruh Malaysia, semuanya berada di bahagian pantai barat Semenanjung Malaysia.