Active Noise Cancellation (ANC) ataupun penyaring hingar aktif adalah salah satu ciri yang kini semakin popular dalam kalngan kelengkapan audio. Ia membolehkan anda memisahkan bunyi bising dunia luar dan dengar muzik anda tanpa gangguan bunyi tersebut. Sewaktu awal-awal diperkenal, ANC dilihat sebagai ciri eksklusif untuk produk taraf tinggi yang harganya ribuan ringgit.
Namun ia sudahpun jadi sejarah silam.
Kini ANC bukan lagi ciri yang premium untuk fon putik mahal. Hari demi hari, ia semakin menyerap masuk ke kategori harga patut. Dalam artikel ini, saya senaraikan 5 fon putik ber-ANC yang boleh anda dapatkan pada harga kurang daripada RM300. Faktor pemilihan saya tidak semata-mata harga dan ANC, saya juga melihat pada spesifikasi lain seperti hayat bateri, kekalisan debu/air, dan ciri-ciri menarik lain.
1. Edifier TWS330 NB (RM179)
Kita mulakan daripada yang paling rendah harganya sebagai penanda aras. Ya, memang ada yang lebih murah, tapi saya kurang yakin dengan jenamanya. Edifier pula adalah jenama yang saya percaya sebab saya sendiri ada sepasang speaker bookshelf yang ok bunyinya pada harga mampu milik.
TWS pertama yang saya nak kongsikan pada anda adalah daripada model Edifier TWS330 NB. Harganya adalah RM179. Saya kongsi terlebih dahulu tahap ANC yang ditawarkannya iaitu pada paras 38dB. Sekiranya dalam waktu tertentu, anda perlu hentikan sementara ANC, ia ada mode telus ataupun transparency yang akan salurkan bunyi daripada luar kepada anda tanpa perlu anda tanggalkan unit audio.
Pamacu bunyi yang bergetar di dalam setiap unit fon putik ini adalah yang bersaiz 8nm daripada jenis dinamik dan ia berhubung dengan telefon anda menggunakan Bluetooth 5.0. TWS330 NM hanya menyokong codec SBC iaitu jenis yang paling bawah sekali dalam harierki kodek audio tapi ia tidaklah bermakna bunyinya tidak sedap.
Menurut kajian, untuk pendengar biasa, SBC sudah cukup kecualilah pendengar memiliki tahap pendengaran yang sangat baik ataupun seorang audiofilia.
Audio Bluetooth biasanya akan ada masalah dengan sela masa bila anda tonton video ataupun bermain permainan video. Gaming Mode ada disediakan pengeluarnya untuk mengurangkan latensi sehingga ke 80ms tapi ia akan korbankan sedikit kualiti bunyi.
Pada segi hayat bateri, Edifier TWS330 NB boleh beroperasi selama 4 jam dengan ANC terpasang. Bekasnya ada bateri yang boleh menyumbang kepada 16 jam waktu guna keseluruhannya. Kalau anda nak bawanya pergi bersukan di luar sana, ia kalis debur dan air pada tahap IP54.
Laman rasmi produk
Beli Edifier Edifier TWS330NB di Shopee
Beli Edifier Edifier TWS330NB di Lazada
2. Realme Buds Air 3 (RM189)
Baiklah kita sudah wujudkan satu tanda aras untuk rujukan, sekarang kita bergerak naik daripada situ. TWS kedua yang ingin saya kongsikan kepada anda adalah Realme Buds Air 3 yang berharga RM179. Sebenarnya, Realme suka letak harga promosi dan jarang jual produk mereka pada harga RRP sebab nak nampak ada diskaun mungkin? Sebab di Lazada, lain harganya.
Buds Air 3 ada paras ANC lebih baik iaitu 42dB dan untuk tingkatkan keyakinan anda, Realme katakan yang fungsi ANC mereka terima pengiktirafan TUV Rheinland. Transparency mode disediakan untuk anda dengar bunyi daripada luar tanpa perlu tanggalkan unit audio, tapi ia akan mengorbankan hayat bateri. Makanya, gunakannya secara berhemat.
Bercerita tentang hayat bateri. Tempoh penggunaan juga lebih panjang iaitu pada 5.5 jam dengan ANC terpasang. Bekas penyimpanan unit earbuds Buds Air boleh berikan sehingga 22 jam waktu guna dengan ANC terpasang. Dalam keadaan kecemasan, 10 minit mengecasnya boleh berikan waktu guna sehingga 100 minit lamanya.
Pemacu bersaiz sama macam model Edifier tadi tersemat di Realme Buds Air 3 iaitu yang sebesar 10mm. Unit audio ini berhubung dengan telefon menggunakan sambungan Bluetooth 5.2. Sebanyak 2 jenis kodek disokong Buds Air 3 iaitu SBC dan AAC.
AAC adalah kodek proprietari Apple dan ia ada algoritma pemampat audio lebih baik daripada SBC. Secara ringkasnya, kualiti audio AAC lebih baik daripada SBC. Realme Buds Air 3 lebih kalis air daripada Edifier tadi iaitu pada paras IPX5. Abjad “X” sebelum angka 5 bermakna pengeluarnya tidak menguji tahap kekalisan debu pada produk mereka dan tidaklah bermakna ia tidak kalis debu.
Laman rasmi produk
Beli Realme Buds Air 3 di Shopee
Beli Realme Buds Air 3 di Lazada
3. Huawei Freebuds 4i (RM189)
Kita sampai ke fon putik yang ketiga iaitu Huawei Freebuds 4i yang berharga RM189. Daripada segi spesifikasi ANC, ia memang sedikit rendah berbanding Realme tadi iaitu 22dB. Tapi, hayat bateri fon putik ini bila ANC terpasang adalah yang terpanjang dalam senarai ini iaitu 7.5 jam lamanya. Bekasnya terkandung bateri yang cukup untuk bekalkan waktu guna sehingga 22 jam.
Pada segi penghasilan bunyi, fon putik ini dipacu oleh speaker bersaiz 10mm, sama saiznya seperti dua fon putik yang saya kongsikan sebelum ini dan lain-lain fungsi pun kelihatan sama. Misalnya, anda boleh gunakan transparency mode untuk mendengar bunyi luaran, gunakan mode low latency untuk bermain game ataupun menonton video.
Freebuds 4i berhubung dengan telefon melalui sambungan Bluetooth 5.2 dan ia menyokong teknologi Pop-up Pair bila anda nak sambungkannya dengan peranti Huawei.
Laman rasmi produk
Beli Huawei Freebuds 4i di Shopee
Beli Huawei Freebuds 4i di Lazada
4. Vivo TWS 2 ANC (RM249)
Vivo TWS 2 ANC adalah fon putik yang keempat ingin saya kongsikan kepada anda. Ia sudahpun melewati paras RM200 tapi saya rasakan ia berbaloi berdasarkan ciri menarik yang bakal anda terima. Bermula dengan harga, Vivo TWS 2 ANC dipasarkan dengan tanda harga RM249.
Keupayaan menyaring hingar fon putik ini berada pada paras 40dB, kedua tertinggi dalam senarai ini dan tahap saringan boleh disuaikan mengikut kesukaan anda daripada Low kepada Normal kepada High. Ada juga mode automatik iaitu Smart & Dynamic sekiranya anda ingin serahkan kepada sistem untuk menentukan tahap ANC yang dirasakan sesuai.
Pemacu bunyi TWS 2 ANC adalah yang terbesar dalam senarai ini. Berada pada paras 12.2mm anda boleh jangkakan penghasilan bunyi yang lebih baik terutamanya pada bahagian frekuensi rendah iaitu di bahagian bass.
Namun, berbekalkan speaker yang besar, ia mungkin menjadikannya lebih dahagakan tenaga. Hayat baterinya cuma 4.1 jam dengan ANC terpasang. Ia lebih sedikit daripada hayat bateri Edifier TWS330 walaupun fon putik Vivo ini memiliki bateri 43mAh, 34% lebih besar daripada pesaing Edifiernya.
Vivo TWS 2 ANC berhubung dengan telefon melalui sambungan Bluetooth 5.2 dan ia menyokong codec SBC, AAC dan aptX Adaptive. Codec proprietari Qualcomm ini dilihat sebagai yang paling baik kerana ada algoritma pemampat yang cekap serta tidak menelan banyak bateri.
Lain-lain spesifikasi yang perlu anda tahu adalah seperti:
- kekalisan debu air IP54
- mode low serendah 88ms
- multipoint connection yang membolehkan anda berhubung dengan dua gajet serentak dan tukar sumber audio dengan pantas.
- Sokongan Google Fast Pair dan Google Assistance.
Laman rasmi produk
Beli Vivo TWS 2 di Shopee
Beli Vivo TWS 2 di Lazada
5. Redmi Buds 4 Pro (RM289)
Tibalah kita ke fon putik kelima dan yang terakhir dan yang paling mahal dalam senarai ini. Redmi Buds 4 Pro boleh anda dapatkan pada harga RM289. Pada paras harga sebegitu, anda dapat fon putik yang dipacu speaker 10mm dwidinamik. Lebih menarik, ini satu-satunya fon putik yang menyokong codec LDAC, codec audio beresolusi tinggi dan mungkin satu-satunya yang menyokongnya untuk fon putik bawah RM300.
Ciri ANC Redmi Buds 4 Pro berada pada paras 43dB, tertinggi dalam senarai ini. Kalau ANC terlalu kuat, ia boleh disuaikan dalam tiga tahap tertentu mengikut keselesaan.
Hayat bateri dengan ANC terpasang tidak dikongsikan pengeluarnya tapi kita ada angka untuk waktu guna apabila ANC dimatikan iaitu 9 jam. Makanya, jangkakan hayat bateri sekitar 4-5 jam bila ANC terpasang, bergantung kepada tahap ANC yang anda tetapkan.
Bekas penyimpanan fon putik ini punyai cukup tenaga untuk bekalkan waktu guna sehingga 36 jam (ANC mati). Menurut Redmi, fon putik ini ada teknologi pengecasan pantas. 5 minit mengecas fon putik di dalam bekasnya akan berikan 2 jam waktu penggunaan.
Salah satu ciri menarik Redmi Buds 4 Pro adalah mode Dual Transparency. Ia bukan saja membenarkan bunyi luar masuki ke dalam untuk anda dengari. Ia cukup pintar untuk kuatkan bunyi percakapan untuk memudahkan anda mendengar perbualan orang dihadapan anda.
Kemudian, ia juga boleh berhubung dengan 2 gajet Bluetooth serentak dan sumber audio boleh ditukar dengan pantas tanpa perlu pergi ke mode pairing lagi.
Laman rasmi produk
Beli Redmi Buds 4 Pro di Shopee
Beli Redmi Buds 4 Pro di Lazada