Seperti yang dinasihatkan Bank Negara Malaysia (BNM), CIMB Bank dan CIMB Islamic Bank akan melaksanakan peningkatan keselamatan perkhidmatan perbankan mudah alih mereka. Ia untuk menentang penipuan yang meningkat saban hari di seluruh dunia.
Menjelang akhir Oktober 2022, pengguna CIMB hanya boleh mendaftarkan hanya satu peranti untuk pengesahan transaksi di telefon pintar. Semua pengguna baru dan sedia ada akan dibenarkan mendaftar hanya satu peranti untuk aplikasi dan ciri pengesahan SecureTAC, bagi setiap akaun CIMB Clicks pada satu-satu masa.
Bagi pengguna yang telah menggunakannya di lebih satu peranti, CIMB akan membuat pemindahan kepada satu peranti ini secara berperingkat. Ia disasarkan untuk selesai pada Mac 2023. Ini untuk memastikan pelanggan diberikan masa yang mencukupi untuk membiasakan diri dengan peraturan baru.
Selepas tamatnya tempoh ini, CIMB akan menyahaktifkan peranti yang bukan utama untuk kegunaan aplikasi CIMB Clicks. Semua pengguna CIMB Clicks dinasihatkan untuk segera mengubah tetapan mereka dan membuang peranti bukan utama daripada akses kepada CIMB Clicks.
Cara membuang peranti bukan utama di CIMB Clicks
Untuk menyahaktifkan peranti bukan utama daripada menggunakan aplikasi CIMB Clicks lagi, ikuti langkah di bawah:
- Daftar masuk ke aplikasi CIMB Clicks menggunakan peranti utama yang didaftarkan
- Tatal ke kiri di muka utama dan cari ‘Settings’. Tekan padanya dan lihat pada senarai ‘Other Registered Device’ di bawah jika ada peranti lain didaftarkan.
- Sapu ke kiri pada nama peranti tersebut untuk membuangnya. Tekan butang ‘Delete’ berwarna merah dan sahkan pembuangannya.
Setelah selesai, nama peranti lain tidak akan dipaparkan lagi di ruangan bawah ‘Settings‘ untuk ‘Other Registered Device‘. SMS juga akan dihantar untuk memberitahu tentang peranti yang telah dibuang dari senarai kebenaran.
Pelanggan diminta untuk sentiasa peka dan siap siaga terhadap sebarang notis yang diterima, terutama sekali jika ada pengaktifan peranti baru untuk akaun CIMB mereka sedangkan ia tidak dilakukan.
Jika ada sebarang pertanyaan atau keraguan, boleh hubungi Pusat Panggilan Pelanggan CIMB di talian +60362047788 yang disediakan sepanjang masa 24/7. Layari laman web CIMB SRD untuk maklumat lanjut tentang pengaktifan peranti tunggal.
Baru 1 daripada 5 dilaksanakan
Langkah yang baru diperkenal CIMB ini hanyalah 1 daripada 5 arahan Bank Negara Malaysia untuk menyekat jenayah penipuan atau SCAM, iaitu hanya satu peranti untuk pengesahan. Empat lagi adalah beralih daripada SMS OTP kepada pengesahan lain, menyekat dahulu transaksi yang mencurigakan, tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama dan talian hotline khusus untuk melaporkan SCAM.
Maybank dilihat lebih aktif dan terkedepan apabila membuat pengumuman tiga hari selepas BNM mengeluarkan arahan tersebut. Maybank menyatakan akan beralih sepenuhnya kepada Secure2U menjelang Jun 2023, tidak lagi menggunakan SMS OTP. Secure2U juga dibenarkan untuk satu peranti sahaja dan tempoh bertenang 12 jam berkuatkuasa untuk sebarang pengaktifan Secure2U di peranti baru. Talian hotline khusus untuk melaporkan penipuan juga ditubuhkan.
Disebabkan banyak masalah timbul di masa lalu, CIMB sering kali dikaitkan dengan sebarang isu perbankan yang timbul masa kini. Sebagai Bank pengguna kedua terbesar di Malaysia, CIMB perlu bertindak lebih agresif dan pantas serta menjadi paling ke hadapan dalam meningkatkan keselamatan perbankan, sekaligus memulihkan keyakinan pengguna.
Bacaan Berkaitan
- Peningkatan jenayah scam membimbangkan, BNM arah bank sekat transaksi mencurigakan & ganti SMS OTP
- Maybank berhenti guna SMS TAC, Secure2u dinaik taraf lebih ketat
- Asyik pengguna hilang duit kena SCAM, Bank juga harus pikul tanggungjawab dan beri pampasan
- CIMB OCTO, aplikasi perbankan serba baharu pengganti CIMB Clicks dilancar secara berperingkat