Menstrim kandungan hiburan di skrin besar kini semakin mudah dengan adanya TV Pintar. Jika tidak pun, asalkan ada port HDMI maka anda boleh mengubah skrin tersebut menjadi pintar dengan penggunaan kotak media, seperti Xiaomi TV Stick.
Kini Xiaomi Malaysia mengumumkan bahawa mereka telah mula menjual kotak media dengan keupayaan lebih tinggi, Xiaomi TV Stick 4K. Ia boleh dibeli di mana-mana pengedar sah Xiaomi.
Harga rasmi untuk Xiaomi TV Stick 4K di Malaysia telah ditetapkan pada RM219. Jika anda membuat carian atas talian, beberapa penjual telah menjual set import pada harga kurang dari RM200.
Spesifikasi Xiaomi TV Stick 4K
Tidak seperti kotak media Android TV lain, TV Stick 4K datang dalam bentuk kecil dan port HDMI, bersama alat kawalan jauh yang lebih besar. Anda hanya perlu mencucuknya ke port HDMI di monitor, projektor atau TV, dan membekalkan kuasa menerusi port USB. Tidak perlu lagi sambungan kuasa tambahan dan ia tidak mengambil ruang yang banyak.
Di dalam, ia diperkasa CPU empat-teras Cortex-A35 dan GPU Mali-G31 MP2. Ia dipadankan bersama RAM 2GB dan storan 8GB. Sistem operasi yang digunakan adalah Android TV 11, OS lebih baru daripada Mi TV Sick 1080p.
Alat kawalan jauh Bluetooth kekal dalam rekaan kemas dan mudah digunakan untuk kawakan. Tetapi ia ada butang khas untuk Netflix dan Prime Video. Ia juga dibina dengan mikrofon di dalam dan butang Google Assistant untuk memberi arahan menggunakan suara.
Dengan Android TV, ia membolehkan pelbagai aplikasi penstriman dipasang dengan muat turun rasmi menerusi Google Playstore. Ini termasuk aplikasi seperti Viu, TVBAnywhere+, iQiyi, Disney+ Hotstar, HBO Go serta Apple TV+. Bagaimanapun, ada yang perlu dibayar langganan untuk tontonan premium.
Menurut Xiaomi, TV Stick 4K menyokong paparan keluar 4K dan Dolby Vision, serta sistem bunyi Dolby Atmos dan DTS HD. Ia juga terbina dengan Chromecast, membolehkan sesiapa di dalam WiFI yang sama berkongsi paparan di dalam peranti seperti telefon, tablet dan laptop, terus ke skrin besar.
Dengan saiz yang kecil, TV Stick 4K boleh dibawa ke mana-mana, terutama sekali ketika melancong. Jadi anda boleh menyambung tontonan di tempat baru dengan mudah, hanya menukar sambungan WiFi tetapi jangan pula tertinggal nanti.
Kekurangannya pula ialah tiada sambungan untuk storan luaran kerana tiada port USB. Jika mahu menyambung cakera keras bagi melayan kandungan tanpa internet, lebih baik dapatkan Mi Box S yang kini dijual sekitar RM180 ke RM230.
[Sumber: Xiaomi]
Bacaan Berkaitan
- Xiaomi TV Stick 4K, pemain Android TV kompak kini ada paparan 4K
- Mi TV Stick dilancar dengan harga sangat rendah
- Mecool KD1, Android TV bawah RM200 kalahkan Mi TV Stick
- Hands-on Mi TV Stick: Semua orang kena ada gajet ini