Salah satu perkara yang saya nampak sering menjadi kerisauan pengguna iPhone adalah tahap kesihatan bateri mereka. Ada yang terkejut bila hayat turun 1% walaupun iPhone tersebut tak sampai setahun.
Tetapi jika anda pengguna iPhone yang sudah tamat tempoh jaminan, anda perlu ketahui bahawa harga menggantikan bateri iPhone akan naik tidak lama lagi. Perkara ini ditemui di laman sokongan Apple di Amerika Syarikat berkaitan penggantian bateri.
Dalam nota kaki di laman sokongan tersebut, Apple menyatakan bahawa harga perkhidmatan penggantian bateri yang sudah tamat tempoh jaminan, akan tamat pada akhir Februari 2023. Mulai 1 Mac 2023, harga ini akan naik sebanyak USD20 (~RM88) untuk semua model iPhone sebelum iPhone 14.
Adakah hal yang serupa akan dikenakan di Malaysia? Semakan di laman sokongan Apple Malaysia, tidak menerangkan hal ini kerana perkhidmatan sokongan tidak disediakan oleh Apple sendiri, tetapi oleh rakan Apple di Malaysia seperti Machines dan Switch.
Memandangkan Apple Store terdapat di Singapura dan Thailand, kami pun menyemak tentang perkara ini di laman sokongan Apple di sana. Ternyata terdapat kenaikan harga. Untuk Thailand, kenaikan harga adalah THB 890 (~RM113) manakala di Singapura sebanyak SGD 30 (~RM98).
Melihatkan kenaikan harga ini berlaku di banyak tempat termasuk Asia Tenggara, tidak mustahil ia akan memberi kesan kepada Malaysia. Kami jangka, kenaikan harga di Malaysia sekitar RM100.
Semakan di Machines menunjukkan kos mengganti bateri iPhone sekarang berbeza mengikut model. Harganya (termasuk cukai dan kos buruh) adalah seperti berikut:
- RM199 – iPhone SE (1st Gen), iPhone SE (2nd Gen), iPhone SE (3rd Gen), iPhone 6, iPhone 6s, iPhone 7, iPhone 7 Plus, iPhone 8, iPhone 8 Plus
- RM379 – iPhone X, iPhone XS, iPhone XS Max, iPhone XR, iPhone 11, iPhone 11 Pro, iPhone 11 Pro Max, iPhone 12 mini, iPhone 12, iPhone 12 Pro, iPhone 12 Pro Max, iPhone 13 mini, iPhone 13, iPhone 13 Pro, iPhone 13 Pro Max
- RM549 – iPhone 14, iPhone 14 Plus, iPhone 14 Pro, iPhone 14 Pro Max
Apple sebelum ini pernah menurunkan harga penggantian bateri pada tahun 2018, selepas dikesan mengurangkan prestasi telefon pintar iPhone dengan sengaja untuk memanjangkan hayat bateri. Untuk meminta maaf, Apple menurunan harga daripada RM349 kepada RM121 sahaja.
[Sumber: 9to5mac]