Awal minggu ini, Digital Nasional Berhad (DNB) mengumumkan bahawa mereka telah melangkaui sasaran pembangunan 5G tahun lepas, iaitu mencapai hampir 50% liputan di kawasan populasi (COPA) pada 31 Disember 2022. Tetapi pencapaian ini tidak meyakinkan Menteri Komunikasi dan Digital, YB Ahmad Fahmi Fadzil dan mempersoalkan, bagaimana DNB boleh mencapai angka tersebut.
Fahmi menyatakan, pengurusan DNB perlu menjelaskan bagaimana liputan hampir 50% tersebut dikira kerana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) belum mengesahkan lagi perkara tersebut. Tambah Fahmi, DNB tidak boleh mengumumkan perkara seperti ini sebelum ia disahkan.
Fahmi memaklumkan perkara ini sebagai balasan kepada komen tentang pengguna yang masih tidak dapat menikmati liputan 5G, selepas membaca laporan DNB mengenai capaian 5G sudah mencecah hampir 50% di seluruh negara.
DNB adalah penyedia rangkaian 5G borong tunggal (SWN) di Malaysia. Sasaran awal mereka adalah mencapai 40% pada akhir tahun 2022, tetapi laporan terbaru DNB menyatakan mereka telah melebihi sasaran ini, iaitu mencapai 47.1% liputan 5G di kawasan populasi di seluruh Malaysia. Liputan 5G ini dicapai menerusi pembangunan 3,900 tapak 5G di 13 negeri dan 2 Wilayah Persekutuan. Bagaimanapun, hanya Wilayah Persekutuan Labuan satu-satunya kawasan tanpa liputan 5G sehingga akhir tahun 2022.
Menurut DNB, mereka telah meliputi 97% kawasan di Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan rangkaian 5G, serta hampir 90% liputan 5G di seluruh Selangor. Manakala negeri Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis turut mula menerima capaian 5G tahun lepas, walaupun ia tidak termasuk dalam perancangan Fasa 1 pembangunan 5G DNB.
Perancangan asal DNB adalah untuk membangunkan 4,018 tapak 5G pada akhir tahun 2022 untuk meliputi 40% kawasan berpopulasi. Dalam laporan JENDELA sebelum ini, SKMM melaporkan bahawa DNB telah membangunkan 1,915 tapak 5G dengan 33.2% liputan 5G di kawasan berpopulasi, sehingga 30 September 2022. Dengan kenyataan terbaru DNB, mereka telah membangunkan hampir 2,000 tapak 5G dalam masa 3 bulan sahaja.
Bulan lepas, DNB melaporkan bahawa pembangunan tapak 5G berkurangan daripada sasaran awal kerana masalah rantaian pembekalan serta lewat mendapatkan kelulusan kerajaan tempatan, terutama di Selangor dan Sarawak. Tetapi DNB yakin dapat mencapai sasaran 40% liputan 5G walaupun kekurangan 500 tapak dengan mengalih pembangunan 5G ke negeri yang sepatutnya dibangunkan pada tahun 2023. DNB mensasarkan 80% liputan 5G di kawasan populasi pada akhir tahun 2024.
Selepas PRU15 dan Perdana Menteri baru dilantik, Anwar Ibrahim telah mengumumkan untuk mengkaji semula pembangunan 5G oleh DNB. Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil pula menjamin bahawa pembangunan 5G akan diteruskan seperti yang dirancang, sementara kerajaan mengkaji semula pelaksanaannya dan pilihan yang ada.
Selain Maxis Bhd, semua MNO utama iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) – telah menyediakan perkhidmatan 5G runcit kepada lebih 20 juta pelanggan mereka, selepas menandatangani Perjanjian Akses 5G masing-masing dengan DNB pada 31 Oktober 2022.
Pelanggan Maxis masih tidak dapat mengakses perkhidmatan 5G kerana Maxis masih menunggu kelulusan pemegang saham mereka untuk melaksanakan Perjanjian Akses 5G dengan DNB, yang dijadualkan akan selesai pada Januari tahun ini.
Akhir tahun lepas, Apple telah mengeluarkan kemaskini iOS 16.2 dan ia telah membenarkan penggunaan 5G untuk iPhone 12 dan ke atas di Malaysia. Pengguna iPhone bersama rangkaian Celcom, Digi dan U Mobile telah mula menikmati rangkaian 5G jika melanggan pelan serasi 5G.
Bacaan Berkaitan
- DNB langkaui sasaran 2022 dengan liputan 5G hampir 50% di seluruh negara
- Liputan 5G kini terdapat di Sabah dan Sarawak
- PMX arah tender 5G yang dianugerahkan kepada DNB dikaji semula
- Fahmi Fadzil beri lampu hijau untuk DNB terus bangunkan 5G, tapi kajian semula tetap dibuat
- Liputan 5G Malaysia akan cecah 40% sebelum akhir 2022, iPhone masih belum boleh guna 5G
- 5G kini aktif untuk iPhone di Malaysia, termasuk Celcom dan U Mobile