Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, salah satu perkara terawal yang disebutnya adalah mengkaji semula pelaksanaan 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB). Menurut Anwar, pembangunan 5G di Malaysia tidak dilaksanakan dengan telus dan tiada tender terbuka.
Perkara ini disambut oleh Menteri Komunikasi dan Digital, YB Ahmad Fahmi Fadzil tidak lama selepas itu. Jelasnya, kerajaan kini sedang menyemak semula pembangunan 5G di Malaysia tetapi tidak akan menghentikan sebarang projek 5G yang sedang dilaksanakan DNB.
Terbaru, dalam temubual bersama BFM di segmen The Breakfast Grill, Fahmi memaklumkan bahawa masih terlalu awal untuk kerajaan membuat keputusan, tetapi dia berharap agar kabinet dapat memutuskannya dalam suku pertama tahun ini. Katanya lagi, masih tidak jelas apakah impak atau kesan sampingan jika perkara ini ditangguhkan lebih lama.
Fahmi menambah, terdapat banyak aspek teknikal tentang pembangunan 5G dan ada pelbagai model yang berjaya dan gagal, jadi apa yang penting adalah mencapai keseimbangan. Adalah penting untuk melihat secara menyeluruh tentang kewajipan terhadap kontrak, untuk mengelak daripada terjadinya kesan kewangan yang mungkin tidak dapat diatasi.
Apabila ditanya tentang pendapatnya mengenai monopoli DNB dan model rangkaian borong tunggal, Fahmi menjawab, tidak kira apa jua pendapat peribadinya sebagai Ahli Parlimen sebelum ini, apa yang penting sekarang sebagai menteri adalah dia menjadi wakil kerajaan. Katanya, masih belum ada perbincangan kabinet tentang perkara ini dan kerana itu, dia tidak boleh memberi sebarang jawapan atau pilihan yang sedang dipertimbangkan. Kerana ia mungkin disalah anggap sebagai pilihan kerajaan.
Buat masa ini, DNB adalah pemilik tunggal 5G di Malaysia daripada aspek pembangunan, pengurusan dan pemilikan spektrum. Kerajaan telah memperuntukkan spektrum 700MHz, 3.5GHz dan 26/28GHz untuk perkhidmatan 5G. Syarikat telekomunikasi (telco) lain tidak dibenarkan membangun 5G sendiri kerana kebebasan spektrum sebelum ini telah ditarik balik oleh kerajaan terdahulu.
Dalam perancangan kerajaan Pakatan Harapan dahulu, pembangunan 5G komersial akan dimulakan pada suku ketiga 2020 menerusi konsortium telco. Tetapi pelan ini dibatalkan selepas kerajaan bertukar pada Februari 2020. Pada tahun 2021, DNB diwujudkan untuk menjadi penyedia tunggal 5G di Malaysia.
Langkah kerajaan pada waktu itu untuk menggunakan DNB dilihat mendapat tentang daripada syarikat telekomunikasi sedia ada. Malah, timbul cadangan supaya spektrum diberikan terus kepada telco atau membenarkan rangkaian borong kedua untuk memacu persaingan dan pembangunan 5G. GSMA juga menyatakan bahawa cara Dwi Rangkaian Borong dapat mempercepatkan pembangunan 5G, tetapi DNB menjelaskan ia boleh meningkatkan kos pembangunan sekaligus memberi kesan kepada pengguna dan kualiti perkhidmatan.
[Sumber: BFM]