Sejurus pengumuman Pakej Perpaduan Jalur Lebar oleh Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil beberapa hari lepas, Time pula tampil melancarkan pelan khas mereka yang lebih menarik. Pakej MyKabel oleh Time memberikan rebat RM30 untuk jalur lebar berkelajuan 100Mbps tetapi hanya di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih.
Di dalam Pakej MyKabel, penduduk PPR terlibat boleh melanggan pelan jalur lebar tetap Time dengan harga RM69/bulan bersama kontrak 24-bulan. Ini memberikan sejumlah RM720 penjimatan selama 24-bulan kontrak berjalan. Pelan ini memberikan kelajuan muat turun dan muat naik yang sama iaitu 100Mbps.
Menurut Time lagi, pelan ini hanya terdapat di 8 PPR iaitu:
- PPR Kampung Baru HICOM, Selangor
- PPR Kota Damansara, Selangor
- PPR Lembah Subang, Selangor
- PPR Taman Putra Damai, Selangor (Lembah Subang 1)
- PPR Kerinchi, Kuala Lumpur
- PPR UDA Utama, Johor
- PPR Taman Perling, Johor (Jalan Rawa 1)
- PPR Taman Perling, Johor (Jalan Rawa 7)
Time turut menyatakan, mereka akan terus menyediakan pakej ini secara berfasa di lokasi terpilih supaya akses internet gigabit boleh dinikmati lebih ramai rakyat Malaysia. Pakej MyKabel RM69/bulan akan sedia dilanggan mulai Mac sehingga Disember 2023. Maklumat lanjut akan diberikan kemudian di laman web Time.
Buat masa ini, pelan biasa Time menawarkan kelajuan 100Mbps pada harga RM99/bulan. Manakala pelan 500Mbps berharga RM139/bulan. Kelajuan lebih pantas juga disediakan iaitu 1Gbps berharga RM199/bulan dan kelajuan terpantas, 2Gbps berharga RM379/bulan.
Time juga memberikan router WiFi 6 serta nod mesh untuk pelan 500Mbps ke atas, manakala pelan 100Mbps menerima router WiFi 5.