Menteri Kerja Raya, YB Alexander Nanta Linggi telah mengutuskan kenyataan media tentang isu berkaitan sistem pembayaran terbuka untuk lebuh raya. Ia beberapa hari selepas pengumuman kementeriannya tentang 5 lebuh raya bakal terima pembayaran kad kredit/debit sebelum September 2023.
Antara persoalan yang dirungkaikan di dalam utusan tersebut adalah seperti:
- Mengapa hanya 5 lebuhraya terlibat di dalam sistem pembayaran terbuka ini?
- Mengapa sistem pembayaran terbuka ini mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan?
- Pihak manakah yang bertanggungjawab membuat keputusan dan memastikan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka ini?
- Multi Lane Free Flow atau Multi Lane Fast Flow?
Multi Lane Free Flow atau Multi Lane Fast Flow?
Di bawah perkara keempat, YB Alexander Nanti Linggi juga memaklumkan yang akronim MLFF kini dirujuk sebagai Multi Lane Free Flow (Aliran Pantas Pelbagai Lorong) dan bukan lagi Multi Lane Free Flow (Aliran Bebas Pelbagai Lorong). Alasannya adalah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna lebuhraya bahawa penggunaan tol adalah percuma.
Adakah YB Menteri beranggapan rakyat Malaysia kurang cerdik?
Negara jiran kita,, Singapura, telahpun mengimplementasikan Aliran Bebas Pelbagai Lorong sejak tahun 1998. Hampir satu per empat abad ERP dijalankan, adakah YB Menteri rasakan rakyat Malaysia tidak cakna tentang kemudahan ERP di Singapura?
MLFF sudah dicanang sejak 2017
Daripada risau memikirkan kekeliruan rakyat, lebih baik fokus diberikan untuk memansuhkan terus penggunaan palang di titik memungut bayaran tol secepat mungkin. Hal ini kerana ia sudah tertangguh terlalu lama. Jelas sekali ia bukanlah disebabkan masalah teknikal tetapi lebih kepada berebut tender, siapakah yang menjadi penyedia perkhidmatan, dan isu-isu berkaitan kontrak.
Hal ini kerana frasa MLFF telahpun meniti di bibir Jabatan Kerja Raya seawal 2017 lagi. Berdasarkan satu buletin Perhipunan Bulanan Kementerian Kerja Raya untuk bulan September 2017, sistem RFID telahpun dicuba di lebuhraya terpilih dalam Lembah Klang pada 12 Julai 2017 yang lalu.
2018: Touch ‘n Go dan PLUS berebut impementasi RFID
Setahun kemudian, Touch ‘n Go melancarkan program rintis RFID mereka dan mula menerima pendaftaran awal dalam bulan Ogos 2018.
Bye SmartTag, Selamat Datang RFID
Dalam bulan Disember 2018 pula, PLUS mengumumkan pelancaran program rintis RFID PLUSuntuk empat plaza tol iaitu Jambatan Pulau Pinang, Kubang Semang, Lunas dan Jitra. Untuk pengguna harian di Jambatan Pulau Pinang, mereka boleh menerima diskaun 20% bersama penggunaan RFID PLUS.
Dalam minggu yang sama juga, salah satu pemegang saham utama Touch ‘n Go, CIMB Group, telah memfailkan notis timbang tara terhadap PLUS kerana melancarkan sistem RFID sendiri.
Menurut CIMB, ia melanggar perjanjian usaha sama yang ditandatangani pada 1998 dan CIMB berusaha mendapatkan perintah injunksi untuk menghentikan PLUS dari meneruskan usaha mereka memperkenalkan sistem RFID.
Setahun kemudian, dalam bulan Oktober 2019, CIMB dan PLUS dilapor telah menyelesaikan kemelut tersebut.
Antara penyelesaian yang dicapai adalah CIMB akan menarik balik permohonan injunksi dan menamatkan sebarang tindakan perundangany ang sedang berjalan berkaitan isu tersebut dan PLUS menamatkan hasrat mereka untuk membangunkan sistem pembayaran RFID versi mereka.
2021: SmartTAG dan kad TNG di plaza tol akan dimansuh secara berperingkat
Selepas kemelut PLUS dan CIMB terungkai, TNG mengumumkan yang pengguna lebuhraya PLUS bakal menerima manfaat TNG RFID bermula Januari 2020.
Kalau anda masih ingat, pada waktu tersebut, banyak lebuh raya selain PLUS dalam Lembah Klang sudahpun menggunakan TNG RFID manakala pengguna lebuh raya misalnya NKVE dan ELITE masih tidak mempunyai kemudahan tersebut.
Dikatakan akibat COVID-19, ia terpaksa ditangguh dan tarikh baharu adalah sebelum Februari 2022 dan dalam bulan Disember 2021, KKR mengumumkan yang semua lebih raya di Pantai Barat Semenanjung Malaysia akan menyokong TNG RFID dengan penyertaan Lebuhraya PLUS bermula 15 Januari 2022.
Dalam kenyataan media yang sama, KKR turut mengumumkan yang mereka akan memansuhkan penggunaan SmartTAG dan kad TNG secara berperingkat. 25 Januari 2022, Menteri Kerja Raya pada ketika itu, YB Fadillah bin Haji Yusof mengumumkan Sistem Aliran Bebas Pelbagai akan diuat kuasakan menjelang 2025, bergantung kepada kadar penembusan teknologi RFID.
Namun sehingga 2023, masih ada plaza tol yang masih belum menyokong TNG RFID iaitu LPT 1 dan LPT 2. Berikut adalah senarai labuh raya yang menyokong TNG RFID setakat 24 Mac 2023.
2023: Kaedah pembayaran tol sistem terbuka diumum
Dalam satu majlis temu bual Dialog Anak Muda: Temu Anwar yang berlangsung pada 19 Mac 2023 di KLCC, Perdana Menteri itu menerima satu persoalan tentang monopoli TNG dalam sistem pembayaran pengangkutan awam dan tol.
Antara intipati respons PM terhadap soalan itu adalah janji beliau akan menilai semula monopoli yang dinikmati Touch ‘n Go (TNG) lebih daripada sedekad. Touch’ n Go adalah satu-satunya kaedah pembayaran tanpa tunai yang boleh digunakan di lebuh raya dan pengangkutan awam kendalian Prasarana.
Seperti yang dikatakan tadi, PLUS sendiri cuba untuk menyediakan alternatif untuk kaedah pembayaran tetapi digagalkan oleh monopoli TNG. Menurut PLUS, TNG ialah satu-satunya penyedia kaedah pembayaran elektronik yang diluluskan kerajaan Malaysia untuk kutipan tol.
Hal ini disebabkan industri lebuh raya di negara ini termaktub di bawah undang-undang ketat oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia yang disertai oleh 14 pemegang konsesi termasuklah PLUS.