iQoo, jenama telefon pintar gaming di bawah ZTE Nubia mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan siri Z7 di Malaysia pada minggu hadapan. Terdapat dua model di bawah siri ini akan diperkenal kelak iaitu iQoo Z7 dan iQoo Z7x.
Pelancaran pada hari Isnin, 10 April 2023 boleh ditonton secara langsung bermula pukul 3 petang di saluran rasmi iQoo Malaysia iaitu Facebook, Shopee, Lazada dan Tiktok.
Spesifikasi iQoo Z7 dan Z7x
Siri Z7 adalah telefon yang menyokong rangkaian 5G. Beberapa spesifikasi dapat dilihat menerusi penyenaraian di Stor iQoo Malaysia di Shopee. iQoo Z7 adalah model yang lebih hebat, dikuasakan cip baru Snapdragon 782G (pengganti Snapdragon 778G+). Ia akan datang bersama RAM 12GB dan storan 256GB.
Skrinnya berukuran 6.64-inci HD Penuh 120hz, berlubang kecil di dahi untuk menempatkan kamera hadapan. Kamera utamanya 64MP OIS. Tarikan utama telefon ini adalah sokongan pengecasan pantas 120W, terpantas di dalam kelas harganya menurut iQoo. Bateri pula berkapasiti 5,000mAh.
Untuk iQoo Z7x, ia menggunakan cip Snapdragon 695 yang telah digunakan banyak peranti sebelum ini. RAM pula sebanyak 8GB dan dua jenis storan ditawarkan iaitu 128GB dan 256GB.
Skrin nampak serupa, berukuran 6.64-inci HD Penuh 120hz dan berlubang kecil di dahi. Kamera utama pula 50MP. Bateri lebih besar dimuatkan, sebesar 6,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 80W.
Berapa harga siri iQoo Z7?
Memandangkan iQoo menyatakan telefon mereka memiliki pengecas 120W terbaik dalam kelas harganya, telefon termurah dengan kuasa pengecas 120W sebelum ini adalah Redmi Note 11 Pro+ 5G. Ia dilancar tahun lepas pada harga RM1,499 dengan storan 128GB dan RM1,599 untuk 256GB.
Nilai terendah yang boleh ditetapkan oleh iQoo pastinya di bawah RM1,599 untuk storan 256GB. Jadi boleh dikatakan, iQoo Z7 mungkin akan dijual pada harga RM1,549 atau RM1,499.
Bagi iQoo Z7x, kami menjangka harganya akan ditetapkan sekitar RM1,000 ke RM1,200. Adakah tepat jangkaan ini? Nantikan pengumuman daripada kami di majlis pelancaran iQoo pada 10 April kelak.