Realme telah selamat melancarkan siri telefon terbaru mereka iaitu siri Realme 11 di pasaran China pada awal bulan lalu. Ia merangkumi Realme 11, Realme 11 Pro 5G dan Realme 11 Pro+ 5G. Kini, Realme telah mengesahkan varian Pro siri terbaru itu akan mendarat ke pasaran antarabangsa tidak lama lagi.
Perkara yang diketengahkan untuk varian Pro terbaru ini adalah sistem kameranya. Varian Pro+ 5G akan menampilkan sensor terkini Samsung ISOCELL HP3 SuperZoom dengan piksel seluas 200MP. Saiz sensor yang didukung adalah sebesar 1/1.4-inci dan ia mempunyai apertur f/1.69. Realme mengatakan ia adalah satu naik taraf yang ketara berbanding pesaing yang masih menggunakan sensor Sony IMX766.
Selain itu, Realme 11 Pro+ 5G mampu untuk zum Lossless sehingga 4x. Realme mendakwa ia adalah telefon pertama dalam industri yang menyokongnya. Dengan dilengkapkan teknologi zum dalam sensor, ia boleh zum lossless sehingga 2x atau 4x dengan membolehkan sensor bertukar antara mod imej berbeza untuk mencapai bilangan piksel sebenar pada segmen fokus yang berbeza.
Jadi komposisi untuk menangkap gambar lebih bebas tanpa perlu risau seberapa jauh jarak objek. Resolusi imej dalam segmen fokus ini dikatakan oleh Realme 242% lebih tinggi berbanding produk lain yang serupa.
Siri Realme 11 Pro juga dimuatkan ciri kamera menarik lain. Ia termasuk Super Group Portrait dan One Take, di mana boleh digunakan untuk mendapat komposisi gambar terbaik dengan pertolongan algoritma AI untuk menjana beberapa gambar “bersudut terbaik” dalam satu masa.
Spesifikasi Realme 11 Pro+ 5G
Realme 11 Pro+ 5G dilengkapkan dengan paparan AMOLED 6.7-inci beresolusi (1080×2412), kadar penyegaran 120Hz dan kadar pensampelan sentuh 360Hz. Bahagian baterinya bersaiz 5,000mAh dengan pengecasan pantas 100W melalui USB-C.
Ia dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 7050 5G bersama gandingan RAM 12GB dan storan sehingga 1TB. Ciri lain yang terdapat adalah pengimbas cap jari di dalam skrin, sambungan Bluetooth 5.2, NFC, dan WiFi. Sistem operasi akan didatangkan dengan realme UI berasaskan Android 13.
Realme 11 Pro+ 5G dilancarkan di China pada harga CNY2,099 (~RM1,373) untuk varian 12GB + 256GB, CNY2,399 (~RM1570) untuk varian 12GB + 512GB dan CNY2,799 (~RM1,830) untuk varian terbesar 12GB + 1TB.
Walau bagaimanapun, masih tiada tarikh yang diberikan oleh Realme berkenaan bila siri Realme 11 Pro akan dilancarkan di pasaran global. Oleh itu, nantikan pengumuman rasminya dalam masa terdekat ini. Realme sebenarnya masih berhutang dengan peminat di Malaysia. Realme GT3 yang diumum pada Februari lepas di Barcelona, masih tiada khabar berita untuk pasaran Malaysia walaupun dijanjikan ia akan tiba tidak lama kemudian.
Bacaan Berkaitan
- Realme 10 Pro 5G edisi Coca-Cola kini di Malaysia, RM1,399 pada stok amat terhad
- Realme C55: Maklumat Penjualannya di Malaysia
- Realme GT3 pukau MWC 2023 dengan pengecas 240W, isi penuh dalam tempoh 9 minit sahaja
- Realme GT3 dengan kuasa pengecas 240W akan diumum bulan ini, bakal tiba ke Malaysia
- Realme 10: Maklumat penjualannya di Malaysia