BigPay merupakan salah satu kad debit dalam bentuk prabayar yang popular di Malaysia. BigPay telah mengumumkan sokongan DuitNow di platform mereka tahun lepas, bagi memudahkan pengguna membuat pembayaran dan penghantaran wang sesama bank tempatan.
Kini BigPay mengumumkan bahawa mereka menyokong pembayaran dibuat menggunakan kod QR di Singapura dan Thailand, selain di Malaysia. Ia dijayakan menerusi sistem rentas Duitnow QR yang telah diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Thailand dan Singapura sebelum ini.
Menurut Bigpay, mereka adalah antara yang pertama melancarkan fungsi ini bagi memudahkan lagi pembayaran dibuat di luar negara menerusi kod QR, menerusi kadar tukaran matawang asing mereka yang kompetitif. Ia juga menjadi pelengkap kepada kad prabayar fizikal Bigpay yang boleh digunakan dengan mudah dan lancar di mana-mana kedai yang menerima Visa dan Visa Paywave.
Untuk membuat pembayaran QR di luar negara, caranya sangat mudah. Mula-bula buka aplikasi Bigpay, tekan pada butang “Explore” di bawah dan pilih pada DuitNow QR. Selepas itu, imbas kod QR kedai tersebut dan masukkan jumlah yang mahu dibayar. Maklumat pembayaran akan tertera, termasuk kadar tukaran matawang asing. Jika berpuas hati, tekan butang ‘Pay’ untuk membuat bayaran. Sebenarnya, ini cara yang sama pembayaran QR dibuat di Malaysia.
BNM telah mengumumkan kerjasama dengan Bank Thailand pada tahun 2021 untuk menghubungkan pembayaran kod QR di antara dua negara. Dengan ini, pengguna di Malaysia dan Thailand, boleh membuat pembayaran di Malaysia dan Thailand melalui perbankan mereka sendiri.
Kerjasama dengan Singapura pula telah diumumkan pada bulan Mac tahun ini. Selain itu, BNM juga telah mengumumkan kerjasama dengan Indonesia awal bulan ini untuk menghubungkan kod QR Malaysia dan Indonesia. Tetapi Bigpay tidak pula mengumumkan sokongan pembayaran QR di Indonesia. Mungkin ia akan tiba tidak lama lagi memandangkan BNM telah mengumumkan kerjasama tersebut.
[Sumber: Bigpay]