Tidak lama lagi, pengguna Yoodo perlu membayar RM10 jika mahu menggunakan 5G. Perkara ini dimaklumkan Yoodo menerusi emel kepada semua penggunannya. Ia sebagai peringatan bahawa ujian 5G percuma mereka akan tamat pada 4 Julai 2023.
Mulai 5 Julai 2023, pengguna Yoodo yang mahukan akses ke rangkaian 5G perlu membayar RM10. Bagaimanapun, Yoodo memberi diskaun 50% untuk masa terhad, menjadikan akses 5G berharga RM5 sahaja. Promosi ini berjalan sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak. Mungkin selama-lamanya, seperti mana promosi 20GB RM20 mereka yang masih tidak tamat sejak tahun 2018 sehingga sekarang.
Untuk menggunakan 5G, ada 3 perkara yang perlu pengguna penuhi. Pertama, peranti mereka mestilah menyokong 5G yang disediakan oleh Digital Nasional Berhad (DNB). Kedua, pengguna mestilah melanggan pelan yang ada akses 5G. Ketiga, mesti berada di dalam kawasan liputan 5G.
Untuk peranti, kebanyakan telefon pintar 5G yang dilancar di Malaysia secara rasmi boleh menggunakan rangkaian 5G. Ini termasuk iPhone 12 dan ke atas, tetapi dengan syarat dikemaskini ke iOS 16.4 dan ke atas.
Pelan pula, Yoodo hanya membenarkan langganan akses 5G untuk pelan berkelajuan tinggi sahaja. Pelan tanpa had tidak boleh melanggan akses 5G. Selain itu, pengguna mestilah membeli data 10GB dan ke atas, untuk melanggan akses 5G.
Selain Yoodo, hanya CelcomDigi telah mengumumkan akan mula mengenakan bayaran untuk akses 5G bagi pelan di bawah RM90 sebulan. Penyedia perkhidmatan lain seperti U Mobile, Unifi Mobile dan Yes, masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang caj bagi akses ke 5G.
Bayaran akses 5G ini amat penting sekarang kerana DNB telah sekian lama beroperasi tanpa sebarang pendapatan. Syarikat telekomunikasi masih ada yang belum melengkapkan perjanjian akses 5G bersama DNB. Ditambah lagi dengan keputusan kerajaan untuk membuka rangkaian 5G kedua bermula awal tahun hadapan, pastinya ia memberi tekanan kepada DNB untuk mula mengutip bayaran.
Bacaan Berkaitan
- Yoodo lancar pelan Pelanjutan Tempoh Sah, diskaun hingga 10% jika melanggan lebih sebulan
- Yoodo kini menyokong 5G dengan akses percuma
- Akses 5G percuma CelcomDigi dilanjut sebulan lagi, lancar pas 5G Booster dengan kuota tambahan
- Unifi Mobile, Yoodo dan Yes boleh mula guna 5G di iPhone selepas kemaskini iOS