Nama Infinix semakin meningkat naik kerana mereka menghasilkan telefon pintar dengan perkakas berkuasa tinggi, berbanding jenama lain termasuk Xiaomi dan Poco. Tetapi Infinix masih tidak belum menjengah ke pasaran flagship.
Tetapi berita terbaru mengatakan Infinix akan meningkat setahap lagi. Selepas melancarkan telefon pintar mampu milik Hot 30 serta telefon kelas pertengahan Note 30 Pro, Infinix bakal melancarkan telefon lebih hebat, Infinix GT 10 Pro.
Infinix GT 10 Pro bakal dilancarkan di India, pada 3 Ogos 2023. Walaupun belum dilancar, Infinix telah berkongsi semua maklumat tentang GT 10 Pro, termasuk gambar dan pilihan warna.
Spesifikasi Infinix GT 10 Pro
Rekaan Infinix GT 10 Pro penuh dengan tarikan untuk peminat permainan video. Antaranya dengan menampilkan dua pilihan warna, dikenali sebagai Mirage Silver dan Cyber Black. Kedua-duanya mengenakan kemasan futuristik separa lutsinar di belakang, bersama beberapa barisan LED yang boleh berfungsi sebagai notifikasi.
Prestasi tinggi pada Infinix GT 10 Pro dihasilkan melalui cip Mediatek Dimensity 8050 6nm. Ia memiliki 8-teras CPU, gabungan 1-teras Cortex-A78 3.0GHz dan 3-teras Cortex-A78 2.6GHz berkuasa tinggi, serta 4-teras Cortex-A55 2.0GHz yang cekap tenaga. GPU pula dikuasakan oleh 9-teras Mali-G77.
Kuasa ini bergandingan dengan RAM LPDDR4X 8GB dan storan dalaman UFS 3.1 seluas 256GB. Infinix menyatakan, GT 10 Pro beroleh markah AnTuTu sebanyak 703,932. Dari laman kedudukan AnTuTu, ia menyamai markah peranti yang dikuasakan cip Snapdragon 870.
Skrin yang digunakan GT 10 Pro adalah jenis AMOLED 6.67-inci 120Hz, dengan kadar sentuhan 360Hz dan kecerahan setinggi 900nits. Tambah Inifinix, sistem operasi yang digunakan bebas dari iklan, digelar juga sebagai Clean OS dan sangat hampir dengan pengalaman Android asli.
Meningkatkan pengalaman bermain game di GT 10 Pro adalah sistem bunyi stereo, dikuasakan DTS Audio dan diiktiraf Hi-Res Audio. Jek audio 3.5mm masih dikekalkan. Ia ditambah lagi dengan getaran 4D menggunakan motor haptik linear paksi-Z. Menariknya, kotak Infinix GT 10 Pro boleh digunakan sebagai perkakas menguatkan bunyi.
Bateri berkapasiti 5,000mAh dipasang di dalam GT 10 Pro. Ia menyokong pengecasan pantas PD3.0 45W, bukan lagi pengecas khas Infinix. Ini membolehkan ia menggunakan pelbagai pengecas pantas universal, tidak terhad kepada pengecas Infinix sahaja. Fungsi ‘Bypass Charging’ turut ada, membolehkan pengguna menguasakan terus peranti tanpa mengecas bateri, agar peranti tidak terlalu panas.
Untuk kamera, ia dikenakan tiga kamera belakang iaitu kamera utama 108MP bersama kamera makro. Di hadapan, ia dipasang kamera 32MP yang terletak di dalam lubang kecil di dahi skrin.
Berapa harga Infinix GT 10 Pro?
Setakat ini, harga Infinix GT 10 Pro masih belum diketahui. Jika dilihat pada spesifikasinya, ia menyerupai telefon seperti Realme 11 Pro dan Redmi Note 12 Pro yang berharga lebih RM1,200. Tetapi melihatkan cara Infinix sebelum ini, GT 10 Pro mungkin boleh dijual di Malaysia di bawah RM1,200. Sudah ada ura-ura mengatakan, Infinix GT 10 Pro akan dijual di India di bawah INR20,000 (~RM1,096)
Cuma jangan meletakkan harapan yang tinggi, terutama sekali peranti yang dilancar di India. Realme dan Xiaomi contohnya, melancarkan model yang jauh berbeza di India dan pasaran antarabangsa. Mungkin akan ada sedikit perbezaan kalau ia dijual di Malaysia.
Kita tunggu pelancarannya di India dan berharap ia akan cepat diumumkan untuk pasaran Malaysia.
[Sumber: GSMarena]
Bacaan Berkaitan