Realme akan membanjiri pasaran telefon 5G mampu milik di Malaysia tidak lama lagi, apabila mengumumkan akan melancarkan Realme 11x 5G. Ia juga adalah model paling murah untuk siri Realme 11 akan dijual di Malaysia kelak.
Menurut Realme Malaysia, telefon pintar Realme 11x 5G akan dilancarkan di sini pada hari Jumaat, 15 September 2023. Ia akan tiba dalam dua pilihan warna iaitu Hitam dan Ungu.
Rekaan Realme 11x 5G membawakan rupa premium dengan warna gradien yang dihasilkan menerusi proses Litografi gred-Nano. Ini menimbulkan pantulan cahaya berbentuk ‘S’ yang menarik. Realme juga dilihat mengekalkan modul kamera ‘Halo’ menyerupai bingkai jam pintar premium, seperti yang digunakan di Realme 11 5G.
Walaupun tidak menyatakan secara jelas, spesifikasi Realme 11x 5G yang akan dilancar di Malaysia dilihat sama dan serupa dengan model Realme 11x 5G yang sudah dilancar di India. Ia dikuasakan cip Mediatek Dimensity 6100+ 5G 6nm yang sama dengan Realme 11 5G, bersama RAM dan storan lebih kecil iaitu RAM LPDDR4x 8GB dan storan dalaman 128GB. Kad mikroSD diterima sehingga 2TB.
Dua kamera di belakangnya adalah kamera utama 64MP F1.79 dan kamera potret 2MP F2.4. Kamera hadapan pula 8MP F2.05, terletak di dalam lubang kecil di dahi skrin.
Skrinnya jenis LCD seluas 6.72-inci, dengan resolusi HD Penuh dan kadar penyegaran 120Hz. Ia ada kecerahan setinggi 550 nits dan kecerahan puncak mencecah 680 nits. Bateri di dalamnya berkapasiti 5,000mAh dan ia menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 33W melalui USB-C.
Speaker hanya mono dan ia masih mengekalkan jek audio 3.5mm di bawah telefon. Pengimbas capjari ada di dalam butang kuasa di sisi. Sistem operasi yang digunakan adalah Realme UI 4.0 berasaskan Android 13.
Di India, Realme 11x 5G dengan RAM 8GB dan storan 128GB dijual pada harga INR15,999 (~RM902). Mungkin kita akan melihat harganya sekitar RM949 ke RM999 di Malaysia nanti.