Selepas melancarakan Watch Series 9, Watch Ultra 2 dan siri iPhone 15, Apple meneruskan acara pelancaran mereka dengan peranti paling penting, siri iPhone 15 Pro. Walaupun ada gembar-gembur mengatakan Apple akan mengubah nama, realitinya ia masih kekal dengan dua model iaitu iPhone 15 Pro (6.1-inci) dan iPhone 15 Pro Max (6.7-inci).
Badan Titanium, Bingkai Nipis
Apple membawa perubahan pada siri iPhone 15 Pro dengan menggunakan badan yang diperbuat daripada gabungan titanium dan aluminium. Ia bukan sahaja lebih teguh tetapi kekal ringan. Di samping itu, Apple berjaya menipiskan lagi bingkai skrin dengan saiz yang serupa di keempat-empat sisi.
Skrin Super Retina XDR dengan ProMotion 120hz masih digunakan, berukuran 6.1-inci untuk iPhone 15 Pro dan 6.7-inci bagi iPhone 15 Pro Max. Fungsi Dynamic Island juga masih tidak berubah dengan kamera TrueDepth 12MP di dalamnya.
Tiada lagi butang lungsur
Butang lungsur fizikal yang menjadi ikon untuk iPhone, kini telah dihapuskan pada siri iPhone 15 Pro. Apple telah menggantikannya kepada butang aksi. Dengan butang baru ini, pengguna boleh menetapkan pelbagai arahan apabila ia ditekan. Antaranya menjadikan telefon senyap, atau pantas membuka kamera, lampu limpah, memo suara dan banyak lagi.
Prestasi Tinggi, Pilihan Gamer
Seperti biasa, prestasi terhebat dipasang ke dalam siri Pro. Kali ini dipertingkat menggunakan pemproses A17 Pro. Cip baru ini dilengkapi GPU yang mampu memproses Ray Tracing, memberikan pengalaman bermain game berkuasa tinggi dengan lancar. Antara tajuk yang dipertonton oleh Apple adalah seperti Resident Evil Village, Resident Evil 4, Death Stranding, dan Assassin’s Creed Mirage.
USB-C terpantas dengan USB 3
Sama seperti iPhone 15, model Pro juga telah menyingkirkan port Lightning kepada USB-C. Tetapi ia menggunakan sambungan USB 3 yang lebih pantas, membenarkan penghantaran data lebih tinggi sehingga 10Gbps. Ini membolehkan ia menyokong paparan luar sehinga 4K 60FPS HDR.
Kuasa mengecas tidak berubah, menyokong sehingga 20W secara berwayar serta 7.5W wayarles dan 15W melalui MagSafe.
Kamera zum 10x
Kali ini, Apple melengkapi sistem kamera yang berbeza untuk iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max. Di iPhone 15 Pro, ia ada tiga kamera belakang menggabungkan kamera utama 48MP 24mm, kamera ultralebar 12MP 13mm dan ketiga kamera telefoto 12MP 3x 77mm bagi iPhone 15 Pro. Kamera-kamera ini dilengkapi penstabil imej optikal (OIS).
Untuk iPhone 15 Pro Max, ia juga dilengkapi tiga kamera belakang dengan dua kamera serupa iaitu kamera utama 48MP 24mm dan kamera ultralebar 12MP 13mm. Kamera ketiga adalah kamera telefoto 12MP 5x 120mm, menggunakan teknologi periskop dengan rekaan tetraprism. Ini memberikan sejumlah zum optikal 10x dan zum digital 25x.
iOS 17 dipasang siap untuk siri iPhone 15 Pro. Warna pula ditawarkan dalam empat pilihan iaitu hitam, putih, biru dan titanium asli. Untuk mencapai sasaran sifar karbon menjelang 2050, Apple telah menyingkir penggunan plastik dari pembungkusan dan menggunakan bahan kitar semula untuk unsur nadir bumi.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Apple iPhone 15 Pro.