iCloud merupakan storan awan yang disediakan Apple untuk kemudahan pengguna menyimpan fail serta membuat salinan pendua untuk pelbagai perkhidmatan Apple di atas talian. Jika anda memerlukan lebih banyak ruang storan iCloud, Apple akan menyediakan pelan baru mulai 18 September.
Pengguna perkhidmatan Apple boleh melanggan pelan baru iCloud+ dengan ruang storan awan 6TB pada harga RM129.90/bulan, serta 12TB pada harga RM269.90/bulan. Dua pilihan baru ini boleh dilanggan pada 18 September 2023.
Kedua-dua pelan baru ini menyediakan ruang storan awan yang besar untuk pengguna menyimpan gambar dan video, serta akses ke fungsi premium seperti Private Relay, Hide My Email, Custom Email Domains, dan HomeKit Secure Video. Selain itu, pelanggan juga boleh berkongsi langganan ini dengan 5 orang ahli keluarga lain.
Apple memberikan langganan iCloud sebanyak 5GB secara percuma kepada semua, dengan fungsi salinan pendua. Untuk langganan berbayar, Apple menyediakan pelan iCloud+ dari serendah 50GB (RM3.90/bulan), 200GB (RM11.90/bulan) dan 2TB (RM44.90/bulan). Kesemua pelan berbayar diberi fungsi tambahan seperti Private Relay, Hide My Email, Custom Email Domains, dan HomeKit Secure Video, serta boleh dikongsi dengan 5 ahli keluarga.
Apple juga menyediakan pelan gabungan Apple One. Dengan bayaran RM29.90, pelanggan menerima langganan iCloud+ 50GB, Apple TV+, Apple Music dan Apple Arcade. Pelan Keluarga Apple One ditawarkan pada harga RM39.90, boleh dikongsi dengan 5 orang lain untuk perkhidmatan iCloud+ 200GB, bersama TV+, Music dan Arcade.
Pelan Apple Premier berharga RM78.90 memberikan lebih perkhidmatan. Selain akses TV+, Music dan Arcade yang boleh dikongsi bersama 5 ahli keluarga lain, pelanggan turut menerima iCloud+ 2TB dan Apple Fitness+.
Dengan tambahan tawaran baru iCloud+ 6TB dan 12TB nanti, mungkin kita akan dapat melihat tawaran pakej baru Apple One. Buat masa ini, masih tiada pengumuman daripada Apple. Jadi kita nantikan tarikh 18 September untuk sebarang kemaskini tawaran.