Siri Xiaomi 13T hari ini dilancarkan dengan pembaharuan yang agak ketara. Ia adalah peranti pertama dalam siri-T Xiaomi yang dihasilkan dengan kerjasama Leica, serta ditambah ciri kalis air dan debu.
Walaupun terdapat dua model diumumkan untuk siri ini iaitu Xiaomi 13T dan Xiaomi 13T Pro, kedua-duanya dilengkapi ciri-ciri utama yang serupa. Kekurangan yang ada pada model bukan Pro hanyalah sedikit.
Tiada lagi naga, storan sehuingga 1TB
Berbanding model Pro sebelum ini yang menggunakan cip Snapdragon, kali ini Xiaomi memilih untuk memasang cip MediaTek. Untuk Xiaomi 13T Pro, ia dibekalkan cip Dimensity 9200+ 4nm, cip terbaik Mediatek untuk tahun ini.
Prestasi tertinggi ini ditambah lagi dengan penggunaan RAM LPDDR5X sehingga 16GB, serta buat pertama kalinya dalam siri-T, storan UFS 4.0 sehingga 1TB. Ia boleh menjadi peranti dengan storan 1TB paling murah dijual di Malaysia kelak.
Skrin yang serupa dengan Xiaomi 13T digunakan pada model Pro ini. Ia menggunakan paparan CrystalRes AMOLED 6.67-inci dengan resolusi HD Penuh (2712×1200) dan kadar penyegaran adaptif sehingga 144Hz. Kecerahan juga sangat tinggi, sehingga 1,200 nits dan kecerahan puncak 2,600 nits. Ia menyokong teknologi Dolby Vision, HDR10+ serta PWM Dimming sehingga 2,880Hz. Pengimbas capjari juga ada di dalam skrin.
Kamera Leica pertama siri-T
Sebelum ini, Xiaomi melekatkan label Leica pada telefon berharga lebih RM3,000 seperti Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Ultra. Dengan siri Xiaomi 13T, label Leica kini terdapat di telefon lebih murah, di bawah RM3,000.
Terdapat label Leica-Summicron di belakang, menggabungkan kamera utama 50MP 50mm F1.9 OIS, kamera ultralebar 12MP 15mm F2.2 dan kamera telefoto 50MP 50mm F1.9. Kamera ini juga mampu merakam video sehingga 8K 24fps dan LOG 10-bit, kelebihan kamera yang tiada pada Xiaomi 13T.
Xiaomi turut menambah beberapa pilihan penapis dan lensa Leica di dalam aplikasi Camera. Pengguna boleh memilih antara lensa Leica Authentic untuk warna kontras yang tinggi, atau Leica Vibrant untuk warna suam yang lebih tenang. Di samping itu, terdapat enam penapis Leica turut disediakan iaitu Vivid, Natural, BW Natural, BW Contrast, Sepia dan Blue.
Tambah menarik, adalah tambahan watermark Leica pada setiap gambar yang diambil.
Siri-T pertama kalis air dan debu
Xiaomi juga menambah satu fungsi penting pada siri Xiaomi 13T, iaitu kalis air dan debu IP68 yang selalunya ada di telefon lebih mahal. Sebelum ini, hanya Samsung meletakkan ciri ini dalam telefon mampu milik tetapi kini berubah dengan kedatangan Xiaomi 13T. Dengannya, pengguna tidak perlu risau lagi mencuci kotoran yang melekat di telefon atau mengambil gambar di dalam air di kolam renang.
Bateri yang diberikan berkapasiti 5,000mAh dan ia menyokong pengecasan pantas 120W melalui USB-C. Kepala pengecas 120W dan kabel ada diberikan di dalam kotak, tidak perlu beli berasingan. Ini satu lagi kelebihan Xiaomi 13T Pro memandangkan Xiaomi 13T hanya menyokong pengeacs 67W.
Sistem bunyi pada Xiaomi 13T Pro adalah stereo menggunakan pembesar suara yang menembak ke tepi. Ia juga menyokong sistem bunyi sekeliling Dolby Atmos tetapi tiada jek audio 3.5mm.
Kemaskini terpanjang selepas Samsung
Siri Xiaomi 13T didatangkan dengan sistem operasi (OS) MIUI 14 berasaskan Android 13. Xiaomi kini memberi jaminan kemaskini OS sebanyak 4 kali dan kemaskini keselamatan selama 5 tahun untuk siri Xiaomi 13T. Ia adalah jaminan terpanjang untuk telefon Xiaomi apatah lagi ia menggunakan cip MediaTek. Dengan ini, ia mampu menyaingi tawaran Samsung pada peranti kelas pertengahan mereka yang turut dijanjikan kemaskini yang serupa.
Xiaomi menawarkan tiga pilihan warna untuk Xiaomi 13T Pro iaitu hijau, biru dan hitam. Untuk maklumat mengenai harga dan jualannya di Malaysia, boleh merujuk laporan kami di sini.