Setelah Tecno Malaysia memberi teaser tentang kedatangan telefon lipat terbaru mereka Phantom V Flip bagi pasaran tempatan, ia kini tiba secara rasmi di Malaysia, dengan tanda harga yang sangat menarik. Pada mulanya, ia telah dilancarkan di peringkat antarabangsa pada September lalu.
Dengan pelancaran Tecno Phantom V Flip di Malaysia, ini menjadikannya telefon flip termurah yang boleh didapati pengguna tempatan. Seperti pasaran lain, ia tersedia dalam satu konfigurasi dan harga rasminya di Malaysia adalah seperti berikut:
- Tecno Phantom V Flip (RAM 8GB + storan 256GB) – RM2,999
Tecno juga mengadakan promosi pembelian awal dengan diskaun RM100, hanya jika pembelian dibuat sebelum 7 Oktober. Namun, ketika artikel ini ditulis, harga promosi masih kekal ada. Jadi jika anda berminat, anda boleh dapatkannya secepat mungkin di stor rasmi Tecno di Shopee, atau anda juga boleh dapatkannya di stor rasmi mereka di Lazada.
Spesifikasi Tecno Phanto V Flip
Tecno Phantom V Flip menampilkan bulatan besar pada bahagian luaran yang turut memuatkan modul kamera bersama panel skrin luaran berbentuk bulat di dalamnya. Paparan panel tersebut berukuran 1.32 inci resolusi 466×466 menggunakan panel AMOLED 60Hz. Skrin luaran dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass Victus. Ia boleh memaparkan widget dan fungsi lain seperti masa, alarm, akses cepat ke mesej malah haiwan perliharaan yang boleh ditetap untuk hidup di skrin.
Bahagian skrin dalaman pula dipasangkan skrin AMOLED berukuran 6.9 inci dengan resolusi HD Penuh, dengan menggunakan panel LTPO yang membolehkan ia mencapai kadar penyegaran adaptif 10Hz hingga 120Hz. Ia ada kecerahan puncak sehingga 1,000 nits, dan kesemua komponen itu dilindungi kaca Schott UTG.
Telefon ini boleh diletakkan dalam keadaan separa lipat antara sudut 30 darjah hingga 150 darjah, serta Tecno mendakwa kedalaman kesan lipatan akan kurang daripada 0.11mm. Daya tahan lipatan juga telah diuji dan mampu bertahan sehingga 200,000 lipatan. Walau bagaimanapun, ia tidak memiliki pengiktirafan IP untuk kalis air dan debu.
Telefon ini dikuasakan oleh cip pemproses MediaTek Dimensity 8050 6nm yang bergerak pada kelajuan 3.0 GHz. Cip itu digandingkan dengan RAM LPDDR4X sebesar 8GB dan storan UFS 3.1 seluas 256GB. Terdapat juga teknologi RAM maya membenarkan perluasan RAM sehingga 8GB lagi. Tenaganya disalur oleh bateri berkapasiti 4,000mAh dengan sokongan pengecasan SuperCharge 45W melalui USB-C.
Sistem pengimejan telefon ini dilengkapkan dengan dua tetapan kamera dalam bulatan besar yang dipanggil Tecno ‘FreeCam’. Ia dimuatkan kamera utama 64MP f/1.7, bersama kamera ultra lebar 13MP. Selfie pula ditangkap menggunakan kamera hadapan 32MP yang ditempatkan ditengah-tengah skrin.
Sejurus keluar kotak, ia menjalankan sistem operasi Android 13 yang diselaputi dengan HiOS 13.5 Flip. Tecno mengatakan Phantom V Flip akan terima sekurang-kurangnya dua tahun kemaskini OS bersama tiga tahun kemaskini keselamatan.
Antara ciri lain yang dilengkapinya adalah sambungan WiFi 6, 5G, Bluetooth 5.1 dan NFC. Ia menggunakan speaker stereo dan pengimbas cap jari ada di butang kuasa. Phantom V Flip tersedia dalam dua varian warna iaitu ungu dan hitam.