Membeli iPhone di laman rasmi Apple adalah salah satu cara paling selamat untuk mengelakkan anda daripada ditipu. Tetapi, itu tidak terjadi kepada seorang penduduk di United Kingdom (UK), setelah dia mendapati iPhone 15 Pro Max yang dibeli dari laman web rasmi Apple merupakan telefon tiruan Android.
Mangsa mengambil peluang untuk berkongsi pengalamannya ditipu di laman Reddit. Dia mendakwa yang pembelian dibuat terus menerusi laman Apple UK, serta dia telah pun menerima e-mel pengesahan dan maklumat penghantaran dari Dynamic Parcel Distribution (DPD), iaitu rakan kongsi penghantaran Apple.
Sejurus menerima dan membuka pakej penghantaran iPhone 15 Pro Max yang diterima, dia merasakan sesuatu yang tidak kena. Ini kerana telefon itu telah dipasang dengan pelindung skrin, yang mana bukan satu perkara normal untuk iPhone. Ini juga membuatkan mangsa tertanya sama ada dia telah dihantar unit yang dipulang kepada Apple.
Apabila menghidupkan telefon, dia terus menyedari bahawa unit yang diterima adalah tiruan. Warna hitam di skrin tidak seperti yang terdapat di panel OLED, dan ia ada dagu tebal di bawah skrin. Cara untuk setup telefon juga ada proses yang sangat teruk, menunjukkan ia merupakan peranti Android dengan kulit menyerupai iOS.
Selain itu, terdapat juga aplikasi TikTok, Facebook dan juga YouTube yang telah dipasang, serta sistem operasinya ada glitch dan tidak selancar iOS dengan ada antaramuka yang pelik. Ini lebih meyakinkan yang ia adalah iPhone tiruan.
Bagaimanapun, mujur mangsa tidak melog masuk menggunakan Apple ID dan menetapkan Apple Wallet. Jika tidak, semua data peribadi dan maklumat kewangan pengguna boleh dikompromi begitu sahaja.
Apa yang peliknya, kotak dan telefon sepadan dengan apa yang dipesan, iaitu iPhone 15 Pro Max dalam warna natural titanium. Lebih menghairankan apabila penghantaran juga boleh dijejak menerusi laman Apple, dan nombor tracking yang tertera di kotak juga sama, menandakan semua proses yang ia lalui adalah betul.
Sementara itu, dia mengesyaki yang ia adalah kesilapan syarikat kurier DPD. Namun, pihak DPD menyatakan kotak telah dibungkus dengan rapi. Kotaknya kelihatan seperti asli dari Apple jika dilihat dari segi grafik dan teks tulisan iPhone. Tapi terdapat kesan koyak pada bahagian dalaman menunjukkan mungkin ada orang yang telah membukanya sebelum ia dihantar.
Setakat ini, mangsa telah memfailkan tiket kepada sokongan Apple, dan mengatakan Apple akan menghubunginya nanti.
Agak sukar untuk percaya pembelian dibuat menerusi laman Apple akan mendatangkan iPhone tiruan. Untuk kes ini, kesilapannya sudah tentu bukan dari pihak Apple, kerana Apple tidak akan menghantar iPhone tiruan. Jadi, jelas terdapat kelemahan pada sistem penghantaran antara Apple dan syarikat kurier.
[Sumber: Android Authority]