GXBank, bank digital pertama yang memulakan operasi di Malaysia telah membuka pendaftaran akaun untuk orang ramai mulai awal bulan ini. Ia masih di peringkat ujian Beta dan dibuka untuk 20,000 pengguna terpilih sebelum dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.
Antara tawaran menarik yang disediakan GXBank adalah pemberian faedah harian berjumlah 3% setahun untuk akaun simpanan. Bagaimanapun, ia masih tidak memiliki banyak ciri perbankan lain, termasuk tiada kad fizikal, kad maya mahupun pengimbas kod QR.
Kad Debit dengan pulangan tunai tanpa had
Kini GXBank telah mengemaskini laman web mereka dan mengatakan, kad debit mereka akan datang tidak lama lagi. Jika akaun simpanan mereka nampak kurang menarik, tawaran kad debit ini kelihatan jauh lebih baik berbanding bank-bank lain.
GXBank menyatakan, mereka akan menawarkan satu-satunya kad debit dengan pulangan tunai tanpa had. Setiap transaksi melalui kad debit GXBank akan menerima pulangan tunai 1%. Berbanding bank lain yang mengenakan had seperti maksima RM50 pulangan tunai sebulan, GXBank tidak mengenakan had ini. Lagi banyak anda gunakan kad debit GXBank, lagi banyak pulangan tunai diterima.
Dari gambaran dan soalan lazim (FAQ) kad debit GXBank, ia menunjukkan mereka bekerjasama dengan Mastercard untuk menawarkan kad debit ini. Pengguna boleh menggunakan kad debit GXBank di mana-mana kedai atau tempat yang menyokong sistem pembayaran Mastercard. Biasanya di mana ada Visa, di situ juga ada Mastercard.
Keluar wang di mana-mana ATM tanpa caj RM1
Satu lagi perkara yang lebih menarik adalah, GXBank tidak akan mengenakan caj RM1 untuk mengeluarkan wang di mesin ATM. Kebanyakan bank lain, mengenakan caj RM1 jika mengeluarkan wang di mesin ATM bukan milik bank tersebut.
Tetapi dengan GXBank, pengguna tidak lagi perlu risau dengan caj RM1. Asalkan wang dikeluarkan di mesin ATM yang menyokong rangkaian MEPS. Terdapat lebih 10,000 mesin ATM MEPS di seluruh Malaysia. Bagaimanapun, ini adalah tawaran untuk masa terhad.
Permohonan kad percuma
Untuk masa terhad, pastinya untuk menarik lebih ramai pengguna mendaftar dengan GXBank, tiada yuran dikenakan untuk permohonan kad fizikal. Malah yuran tahunan juga dikecualikan.
Selain pembayaran menggunakan PIN 6-angka, kad debit GXBank juga menyokong pembayaran tanpa sentuh ala PayWave. Bagaimanapun, tiada maklumat mengenai sokongan Apple Pay, Google Pay atau Samsung Pay.
Pendaftaran percuma, bonus RM20 dan RM8
GXBank telah membuka pendaftaran untuk ujian Beta perbankan mereka, dengan menawarkan bonus RM20 untuk deposit RM100 pertama. Malah, mereka menambah bonus RM8 jika pengguna memautkan DuitNow ke akaun GXBank. Sebagai bank digital, GXBank hanya beroperasi melalui aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun di Apple Appstore atau Google Playstore.
Setakat ini, GXBank menawarkan perkhidmatan asas perbankan seperti penerimaan dan penghantaran wang melalui sistem DuitNow, menggunakan nomboor akaun bank, kad pengenalan, nombor telefon atau nombor pendaftaran syarikat. GXBank juga menawarkan faedah harian sebanyak 3% setahun untuk wang yang disimpan di dalam akaun GXBank.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web GXBank.