Samsung dikhabarkan sedang bersiap sedia untuk melancarkan beberapa telefon terbaru dalam siri A mereka. Selepas terdedahnya beberapa maklumat berkenaan Galaxy A25 dan Galaxy A15 atas talian, kini telah tertiris pula maklumat dan gambaran bagi pengganti kepada model Galaxy A34, iaitu Galaxy A35.
Perkara ini didedahkan oleh pembocor terkenal, OnLeaks yang menunjukkan rupa bentuk luaran telefon itu secara terperinci. Dari gambaran yang diberikan, dilihat seperti tidak ada banyak perubahan pada keseluruhan rekaannya. Panel belakangnya masih ada tiga modul kamera yang diletakkan secara melintang, bersama logo Samsung di bawah.
Namun, jika ditengok dengan teliti, terdapat beberapa perubahan ketara padanya. Sisi bingkainya kelihatan rata berbanding model sebelum ini, dengan bingkai sisi bulat yang sedikit menonjol keluar di bahagian butang kuasa dan volum di sebelah kanan. Dikatakan ia memiliki dimensi badan lebih kecil sedikit, dengan berukuran tinggi 161.6mm dan lebar 77.9mm, manakala tebal masih sama 8.2mm.
Di bahagian depan, ia mempunyai skrin rata dengan lubang menempatkan kamera hadapan, yang mana berbeza dengan model terdahulu yang menggunakan rekaan takuk U. Slot sim juga masih boleh ditemui di bahagian atas, dan juga port USB-C di bawah telefon bersama gril speaker.
Bagi gambaran yang lebih jelas, anda juga boleh tonton video render secara 360 darjah di bawah.
Walau bagaimanapun, maklumat lain berkaitan spesifikasinya masih tandus. Tapi difahamkan untuk paparan, Galaxy A35 akan menggunakan skrin 6.6 inci yang sama dengan model terdahulu. Untuk makluman anda, Galaxy A34 yang dilancar Mac tahun ini berharga RM1,599 untuk storan 256GB. Jadi anda boleh jangkakan harga untuk Galaxy A35 akan diletakkan sekitar paras itu apabila dilancar kelak.
[Sumber: Mysmartprice]