Kali terakhir siri Realme GT dilancar di Malaysia adalah pada Ogos lepas, membawakan Realme GT Neo 3T. Kini selepas lebih setahun, Realme Malaysia akan membawakan sebuah peranti yang jauh lebih berkuasa iaitu Realme GT 3 240W.
Apabila dikatakan tentang kuasa, ia bukan sahaja merujuk kepada kuasa pemproses, tetapi ia juga berkaitan kuasa mengecas. Realme GT 3 yang akan tiba di Malaysia ini, membawa bersamanya kuasa mengecas 240W, kuasa tertinggi untuk telefon pintar yang akan ada di sini.
Sebenarnya, Realme Malaysia masih belum menyatakan dengan tepat tarikh pelancaran Realme GT 3. Apa yang dikongsikan hanyalah gambar puting beliung dengan pancaran kilat, serta tanda pagar #realmeGT3 #240WSpeedtotheMax, sekaligus memberitahu tentang Realme GT 3 dan kuasa mengecas 240W.
Tiba di Malaysia lepas 10-bulan
Tetapi mungkin tidak ramai pengguna di Malaysia merasa girang gembira dengan kedatangan Realme GT 3 ke Malaysia sekarang. Ini kerana telefon ini pertama kali diperkenal di peringkat antarabangsa 10 bulan lepas, pada bulan Februari 2023 di pameran MWC 2023 di Barcelona, Sepanyol.
Di MWC 2023, Realme mengumumkan harga jualan Realme GT 3 dari serendah USD649 (~RM3,037). Walaupun pengecasnya paling berkuasa, spesifikasi yang lain mungkin tidak cukup menarik minat ramai terutama sekali selepas banyak perkakas baru telah diumum akhir tahun ini.
Untuk perbandingan, iQoo 12 yang dikuasakan cip Snapdragon 8 Gen 3 terkini, RAM LPDDR5X 16GB dan storan UFS 4.0 512GB, berharga RM3,399 sahaja dan telah dilancar di Malaysia. Baterinya 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 120W.
Spesifikasi Realme GT 3
Seperti biasa, siri GT adalah peranti kelas flagship Realme. Bagi Realme GT 3, ia dikuasakan cip Snapdragon 8+ Gen 1 tahun lepas, bersama RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan UFS 3.1 sehingga 1TB. Agak mirip dengan pilihan kuasa Nothing Phone (2).
Skrinnya juga agak hebat. Ianya jenis AMOLED seluas 6.74-inci, dengan resolusi 1.5K (2772×1240) serta kadar penyegaran 144Hz. Skrin ini memiliki kadar kecerahan puncak mencecah 1,400 nits dan juga kadar PWM setinggi 2,160Hz. Pengimbas capjari ada di dalam skrin dan ia turut mampu mengesan denyutan nadi.
Bagi menangkap gambar, terdapat tiga kamera belakang iaitu kamera utama 50MP F1.88 menggunakan sensor Sony IMX890 OIS, kamera ultra lebar 8MP F2.2 dan kamera mikroskop 2MP F3.3. Di hadapan pula, ia dilengkapi kamera 16MP F2.45 yang terletak di dalam lubang kecil di dahi skrin.
Jika mahu bercerita tentang kelebihan atau keunikan, Realme GT 3 memiliki lampu ‘Halo Ring’ lutsinar yang terletak di tepi kamera belakang. Ia boleh diubahsuai kepada 25 warna RGB untuk menjadi notifikasi pelbagai aplikasi dan maklumat.
Tetapi tarikan utamanya sudah pasti adalah kuasa pengecas 240W. Telefon ini yang memiliki bateri 4,600mAh, ia boleh mengecas dari 0-20% dalam 80 saat, mencecah 50% dalam 4 minit dan mencapai 100% hanya 9.5 minit. Bermakna, boleh cas 0-100% tak sampai 10 minit pun. Realme menerangkan, kuasa mengecas 240W ini dicapai melalui penggunaan 3 cip pengecasan pantas, bersama dwi-pengecas GaN berkuasa tinggi dan kabel data 12A.
Lain-lain perkara yang turut ada di Realme GT3 nanti adalah sokongan pembesar suara stereo Dolby Atmos, pemancar infra merah dan radio NFC 360-darjah. Masih tiada sokongan kalis air atau pengecasan wayarles. Sistem operasi pula menggunakan antaramuka Realme UI 4.0 berasaskan Android 13.
Jika iQoo 12 yang jauh lebih berkuasa pun sudah berharga RM3,399, berapa agaknya harga paling patut untuk Realme GT 3 240W ini? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen.