Hampir semua pengeluar telefon pintar membuat pelancaran pada bulan Januari, termasuk Poco yang sering menghasilkan peranti lebih berbaloi pada harganya. Hari ini, Poco telah melancarkan tiga model peranti kelas pertengahan dan salah satu daripadanya adalah Poco M6 Pro. Dua lagi model ialah peranti kelas lebih tinggi, Poco X6 dan Poco X6 Pro.
Poco cuba membawakan banyak pembaharuan yang tidak pernah dirasai peranti bawah RM1,000 sebelum ini. Antaranya storan mega besar jenis UFS 2.2, kamera utama dengan OIS dan pengecas berkuasa tinggi 67W.
Harga dan Promosi Poco M6 Pro
Walaupun pelancaran hari ini di peringkat global, Poco Malaysia turut mengumumkan ia sedia dijual di Malaysia serta merta. Seperti biasa, Poco menyediakan promosi dengan harga diskaun yang besar untuk peranti yang baru dilancar.
Berikut adalah harga rasmi dan harga promosi Poco M6 Pro:
- Poco M6 Pro (RAM 8GB + Storan 256GB) –
RM999RM839 - Poco M6 Pro (RAM 12GB + Storan 512GB) –
RM1,199RM1,039
Harga promosi ini hanya tersedia dari 11-18 Januari 2024, eksklusif di Stor Rasmi Poco di Shopee sahaja.
Spesifikasi Poco M6 Pro
Cipset Mediatek Helio G99-Ultra 6nm digunakan untuk menguasakan Poco M6 Pro, sekaligus menjadikan ia tidak menyokong rangkaian 5G. Ia datang bersama RAM LPDDR4X sehingga 12GB, bersama storan UFS 2.2 sebesar 512GB. Kad mikroSD diterima sehingga 1TB dan RAM turut boleh diluaskan secara maya.
Buat pertama kalinya dalam siri-M, Poco M6 Pro dilengkapi paparan Flow AMOLED 120Hz seluas 6.67-inci, menjadikan bingkainya lebih nipis daripada biasa. Resolusinya HD Penuh dan ia memiliki pengimbas capjari di dalam skrin. Skrin ini turut dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 5 yang teguh dan utuh.
Sekali lagi pertama dalam siri-M, Poco M6 Pro dipasang penstabil imej optikal dan elektronik (OIS & EIS). Pada kamera utama, ia ada sensor 64MP dan di kamera ultralebar pula sensor 8MP. Kamera ketiga hanyalah kamera makro 2MP. Untuk kamera hadapan, ia menggunakan sensor 16MP, terletak di dalam lubang kecil di dahi skrin.
Kapasiti bateri agak biasa iaitu 5,000mAh dan ia menyokong pengecasan pantas 67W. Paling penting, kepala pengecas 67W turut diberikan di dalam kotak. Dwi-kad sim 4G diterima dalam slot kad hibrid. Ia juga menyokong Bluetooth 5.2 dan WiFi 802.11ac dwi-jalur.
Lain-lain perkara menarik pada Poco M6 Pro adalah keupayaan speaker stereo, sokongan NFC, kesediaan jek audio 3.5mm serta ada pemancar infra merah. Tetapi satu lebih menarik adalah, Poco M6 Pro akan menyokong sistem operasi baru Xiaomi HyperOS. Tetapi ia tidak tersedia terus di dalam kotak, sebaliknya perlu dimuat turun kemudian.
Terdapat tiga warna tersedia untuk Poco M6 Pro iaitu hitam, biru dan ungu. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Poco M6 Pro.