WhatsApp sedang membangunkan ciri baharu yang membolehkan pengguna berkongsi fail dengan pantas, seperti yang disediakan Apple menerusi AirDrop atau Nearby Share untuk Android.
Ciri tersebut sedang diuji dalam WhatsApp beta untuk Android dan dijangka akan dikeluarkan kepada umum dalam kemas kini akan datang. Melalui ciri baharu itu, membolehkan pengguna berkongsi fail seperti foto dan video dengan cepat dan mudah kepada individu berdekatan.
Ciri perkongsian fail
Ciri perkongsian fail yang membolehkan anda berkongsikan fail bersaiz sehingga 2GB menawarkan privasi dengan penyulitan hujung ke hujung. Ia akan menyembunyikan nombor telefon apabila pemindahan fail berlaku dan keseluruhan proses tidak akan dapat dilihat oleh individu yang bukan kenalan WhatsApp di sekitar anda.
Namun untuk menggunakan ciri perkongsian fail itu, terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan, seperti:
- Anda perlu menggoncangkan telefon untuk memulakan perkongsian fail.
- Kedua-dua pengguna perlu berada dalam bahagian ‘Kongsi fail WhatsApp’ yang mungkin akan diperkenalkan apabila versi beta dan penuh dilancarkan.
Ciri perkongsian fail pantas itu sememangnya satu kelebihan yang bagus. Malah ciri tersebut juga disulitkan dari hujung ke hujung dan tiada nombor telefon dipaparkan kepada bukan kenalan, sekali gus memastikan ia kekal selamat hanya di dalam WhatsApp.
Pun begitu masih tidak dapat dipastikan sama ada ciri tersebut akan berfungsi kepada peranti berbeza seperti iOS dengan Android. Nampaknya kenalah tunggu nanti sehingga ciri tersebut dilancarkan dalam versi penuh.
[Sumber: WABetaInfo]