Nothing kini sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan telefon mereka yang lebih mampu milik, Nothing Phone 2a. Mereka juga mengesahkan kewujudan telefon pintar tersebut dalam Community Update terbaru. Kini muncul lagi maklumat baru berkenaan telefon itu, tetapi ia mungkin akan mengecewakan anda.
Pembocor terkenal OnLeaks telah berkongsikan render Phone 2a, sekali gus dedahkan rupa bentuk yang didukung telefon itu. Phone 2a menampilkan rekaan panel belakang yang dibaharui tidak seperti telefon Nothing yang lain. Tetapi, masih terdapat dua modul kamera di atas dengan bulatan besar di sebelah kamera.
Ini berbeza dengan apa yang terdapat pada Phone 2 yang menampilkan bulatan besar di tengah-tengah panel belakang mengelilingi komponen pengecasan wayarles. Selain itu, dapat dilihat juga Phone 2a tidak menerapkan pengecasan wayarles kerana ditengah-tengahnya tiada komponen pengecasan wayarles. Ia juga menggunakan rekaan seakan litar papan utama yang bersambung dari bawah telefon.
Bagaimanapun, panel belakang ini masih mengekalkan rekaan lut sinar tetapi dengan komponen dalaman panel belakang yang amat berbeza, serta kehilangan ciri penting yang terdapat pada telefon Nothing.
Tiada lampu Glyph
Ini disebabkan tiada lampu glyph kelihatan pada render panel belakang Phone 2a. Render ini juga bercanggah dengan lakaran sebelum ini yang menunjukkan Phone 2a memiliki lampu glyph, tetapi dengan lampu yang lebih sedikit pada ruang bulatan di atas panel.
Jadi, nampaknya Nothing memutuskan untuk mengurangkan beberapa fungsi bagi penawaran ttelefon kelas pertengahannya akan datang. Langkah ini sememangnya masuk akal kerana ia dapat membezakan lebih baik jurang antara telefon kelas flagship Nothing dan juga telefon kelas pertengahan yang lebih mampu milik.
Namun, walaupun berada dalam kategori murah, dari segi spesifikasi, Phone 2a ini dikatakan akan berada atas daripada Phone 1.
Spesifikasi Phone 2a
Maklumat berkenaan spesifikasi masih belum didedahkan oleh Nothing. Khabar angin mengatakan ia akan dikuasakan cip Dimensity 7200 dengan pilihan RAM sehingga 12GB dan storan sehingga 256GB. Skrinnya menggunakan jenis OLED 6.7-inci bersama kadar penyegaran 120Hz.
Kamera yang digunakan dikatakan memiliki tetapan sama seperti Phone 2 iaitu kamera utama 50MP dan juga kamera ultralebar 50MP. Kapasiti baterinya pula sebesar 4,290mAh dan ia akan menjalankan Android 14 yang diselaputi dengan Nothing OS2.5 sejurus keluar kotak.
Pelancaran Phone 2a dijangka akan diadakan pada hujung Februari ketika MWC 2024 di Barcelona, dengan harga sekitar USD400 (~RM1,889). Anda boleh jangka ia juga akan dilancarkan di Malaysia kerana Phone 2a telah pun tersenarai di laman web SIRIM.
[Sumber: Smartprix]