Jika anda menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sewaktu musim perayaan atau cuti umum, pasti anda tahu kesesakan yang berlaku walaupun di lebuhraya. Tetapi tahu tak, anda boleh memandu di lorong kecemasan di lebuhraya PLUS di tempat-tempat tertentu?
Ramai yang tidak tahu tentang keistimewaan yang disediakan PLUS ini. Sewaktu musim perayaan atau cuti umum, PLUS ada mengaktifkan Smart Lane.
Apa itu Smart Lane di PLUS?
Fungsi Smart Lane adalah satu inisiatif yang diperkenal mulanya sebagai ujian di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada 2019 untuk mengatasi kesesakan antara tol Setia Alam dan tol Shah Alam di waktu puncak. Pada waktu itu, semua laluan termasuk lorong kecemasan akan dibuka untuk kegunaan trafik bagi membantu melancarkan perjalanan trafik dan mengurangkan kesesakan sehingga 30 ke 40 peratus.
Selepas ujian tersebut, pengaktifan Smart Lane telah diluaskan ke lebih banyak tempat di sepanjang lebuhraya PLUS dan ini sangat membantu di tempat yang hanya ada dua lorong sahaja. Anda boleh mengetahui kawasan yang terlibat jika ada papan tanda kuning bertulis “PENGAKTIFAN SMART LANE” seperti gambar di atas.
Cara menggunakan Smart Lane di Lebuhraya PLUS
Laluan Smart Lane hanya diaktifkan di beberapa tempat dan jarak di lebuhraya PLUS. Semasa memandu, pastikan anda melihat pada papan tanda kuning PENGAKTIFAN SMART LANE, yang menunjukkan tempat laluan bermula serta masa ia bermula dan tamat.
Untuk menggunakan Smart Lane, pergi ke lorong paling kiri atau lorong kecemasan dengan selamat. Antaranya memastikan tiada kenderaan menghampiri dan menggunakan lampu signal untuk menukar lorong. Apabila berada di Smart Lane, sentiasa peka dengan kelajuan kenderaan serta kenderaan yang akan keluar atau masuk ke laluan.
Selain itu, Smart Lane yang menggunakan lorong kecemasan lebih sempit dari laluan biasa. Berhati-hati dengan kenderaan besar yang berada di lorong kiri dan mungkin termasuk ke sebahagian laluan Smart Lane.
Paling penting, kena tahu di mana laluan Smart Lane akan Tamat. Apabila telah sampai di garis Tamat Smart Lane, anda perlu masuk semula ke kanan untuk laluan biasa lebuhraya. Jarak Smart Lane yang disediakan sekitar 400 meter ke 10km. PLUS juga telah berkongsi video seperti di bawah tentang cara-cara menggunakan Smart Lane.
14 laluan Smart Lane sempena Tahun baru Cina 2024
Untuk Tahun Baru Cina 2024, PLUS telah mengaktifkan sebanyak 14 tempat Smart Lane dari Pulau Pinang sehingga Johor. Berikut adalah senarai lokasi Smart Lane di PLUS:
- Bukit Tambun hingga Plaza Tol Juru (KM150.9 hingga KM150.5 -Arah Utara) 400m, 8–9 Februari 2024, 2.00 petang – 7.00 petang
- Bandar Cassia hingga Hentian Sebelah Sg Bakap (KM155.3 hingga KM156.0 – Arah Selatan) 700m, 17–18 Februari 2024, 2.00 petang – 7.00 petang KENYATAAN MEDIA
- Gua Tempurung hingga Gopeng (KM306.7 hingga KM297.0 – Arah Utara) 9.7km, 8-13 Februari 2024, 10.00 pagi – 6.00 petang
- Slim River hingga Sungkai (KM367.3 hingga KM354.0 – Arah Utara) 13.3km, 8-13 Februari 2024, 10.00 pagi – 6.00 petang
- Sungkai (354.0 hingga KM356.0 – Arah Selatan) 2.0km, 11-13 Februari 2024, 10.00 pagi – 6.00 petang
- Kawasan Rehat & Rawat Rawang hingga Sg. Buaya (439.5 hingga KM435.5 – Arah Utara) 4.0km, 8-13 Februari 2024, 9.00 pagi – 7.00 petang
- Susur Keluar Petron, NKVE hingga Subang (KM11.2 hingga KM13.3 – Arah Utara) 2.1km, Setiap hari kecuali Sabtu, Ahad dan Cuti Umum, 6.30 pagi – 9.30 pagi
- Nilai hingga R&R Seremban (KM280.0 hingga KM276.0 – Arah Selatan) 4.0km, 8-13 Februari 2024, 8.00 pagi – 7.00 petang
- Restoran Jejantas USJ hingga Seafield (KM6.1 hingga KM8.1 – Arah Utara) 2.0km, 8-13 Februari 2024, 8.00 pagi – 7.00 petang
- Port Dickson hingga Seremban (KM260.0 hingga KM263.1 – Arah Utara) 3.1km, 8-12 Februari 2024, 11.00 pagi – 10.00 malam
- Air Keroh hingga Hentian Sebelah Kg. Bemban (KM194.5 hingga KM184.0 – Arah Selatan) 10.5km, 8-13 Februari 2024, 2.00 petang – 6.00 petang
- Kulai hingga Senai (KM27.0 hingga KM19.0 Arah Selatan) 8km, 8-18 Februari 2024, 8.00 pagi – 6.00 petang
- Senai hingga Kulai (KM19.0 hingga KM27.0 – Arah Utara) 8km, 8-18 Februari 2024, 8.00 pagi – 6.00 petang
- Dato Onn hingga Pasir Gudang (KM4.5 hingga KM1.9 Arah Selatan) 2.6km, 8-13 Februari 2024, 9.00 pagi – 7.00 petang
Pastikan anda mengamalkan pemanduan yang selamat di sepanjang perjalanan, terutama di musim perayaan dan mematuhi had kelajuan. Rancang perjalanan dan pastikan baki kad Touch n Go, serta di eWallet dan RFID mencukupi untuk mengelakkan sebarang gangguan di plaza tol. Untuk pemandu kenderaan elektrik (EV), semak tips perjalanan jarak jauh EV yang disediakan rakan kami di SoyaCincau.
[Sumber: PLUS]