ASUS secara rasmi telah mengumumkan pelancaran global untuk Zenfone 11 Ultra. Pelancaran itu dijadualkan pada 14 Mac, jam 8 malam waktu Malaysia.
Berdasarkan laman web acara, memaparkan sebuah peranti dengan kamera selfie di tengah paparan dan bezel yang semakin mengecil. Masih banyak maklumat yang dirahsiakan.
Dengan slogan “Expand Your Vision”, terdapat empat ciri utama yang ditekankan di laman tersebut, iaitu:
- HyperSteady untuk kestabilan video yang sangat lancar
- Bateri yang tahan lama
- Saiz ultra untuk pengalaman lebih besar
- Mod potret untuk video.
Spesifikasi Zenfone 11 Ultra
Ada khabar angin mengatakan bahawa Zenfone 11 Ultra mungkin merupakan versi yang dijenamakan semula dari ROG Phone 8 Pro.
Zenfone 11 Ultra dikatakan akan menampilkan paparan LTPO AMOLED 6.78-inci dengan kadar penyegaran setinggi 144Hz. Ia akan dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 dengan RAM LPDDR5X sehingga 16GB, serta storan UFS 4.0 sehingga 512GB.
Untuk optiknya pula, ia dijangka akan dilengkapi tiga kamera belakang. Kamera utama 50MP Sony IMX890 dengan gimbal OIS, kamera ultralebar 13MP dan kamera telefoto 32MP dengan zum optikal 3x. Pada bahagian hadapan, diberikan kamera selfie 32MP.
Kapasiti baterinya sebesar 5,500mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 65W dan wayarles 15W. Ciri lain yang ada pada Zenfone 11 Ultra adalah jek audio 3.5mm, dua pembesar suara stereo yang dioptimumkan oleh Dirac. Ia juga hadir dalam 5 pilihan warna hitam, biru, kelabu, hijau dan coklat.
ROG Phone 8 Pro
Memang kalau bandingkan antara spesifikasi Zenfone 11 Ultra dengan ROG Phone 8, lebih kurang sama sahaja.
Saiz paparan lebih besar
Kita sudah mengetahui spesifikasi Zenfone 11 Ultra tetapi apa yang membezakannya dengan Zenfone model sebelumnya?
Kalau mengikut spesifikasi Zenfone 8, Zenfone 9 dan Zenfone 10, ketiga-tiga menampilkan skrin AMOLED dengan saiz sebesar 5.9-inci sahaja.
Ini bermakna Zenfone 11 Ultra menjadi model pertama Zenfone yang menampilkan skrin lebih besar, 6.78-inci. Sesuailah dengan salah satu ciri utama yang disebutkan di atas, “Saiz ultra untuk pengalaman lebih besar”. Malah kapasiti baterinya juga besar berbanding model terdahulu sekitar 4,000mAh ke 4,300mAh.
Walaupun Zenfone 11 Ultra dikatakan versi penjenamaan semula bagi ROG Phone 8 Pro, yang tanda harganya RM4,799 untuk RAM 16GB dengan storan 512GB. Tetapi untuk harga Zenfone 11 Ultra mungkin tidak semahal itu. Ini kerana ia tidak ada banyak fungsi macam ROG Phone 8 seperti butang bahu, dua port USB-C, skrin dot matrix belakang dan skrin 165Hz. Jadi anggaran harga Zenfone 11 Ultra mungkin boleh cecah sekitar RM4,000.
Kalau nak tahu harga sebenar Zenfone 11 Ultra ni, kenalah tunggu pelancarannya yang akan berlangsung dalam tempoh beberapa minggu lagi. Sementara itu, kenalah bersabar ya.
[Sumber: Asus, Mukul Sharma]