Sebagai orang muslim, arah kiblat adalah penting untuk membolehkan kita melaksanakan ibadah solat. Untuk menentukan arah kiblat, ada banyak cara yang anda boleh gunakan. Sebelum ini pun saya ada senaraikan cara yang boleh digunakan untuk mencari arah kiblat, dari cara tradisional hinggalah menggunakan teknologi yang ada sekarang.
Adalah lebih praktikal dan lebih baik menentukan arah kiblat menggunakan teknologi canggih yang ada sekarang. Lagipun, majoriti orang sekarang pasti membawa telefon kemana-mana, dan semuanya di hujung jari. Oleh itu, dalam artikel ini, saya nak senarikan cara mudah untuk anda tentukan arah kiblat menggunakan telefon pintar.
1. Guna Pelayar Web – Qibla Finder
Anda juga boleh mencari arah kiblat tanpa memuat turun aplikasi dengan hanya menggunakan pelayar web dan pergi ke laman web Qibla Finder di alamat: https://qiblafinder.withgoogle.com. Dengannya, anda boleh tentukan arah kiblat dengan tepat kerana ia menggunakan Augmented Reality (AR), bermakna anda perlu menghalakan telefon seperti menangkap gambar untuk mendapatkan arah kiblat.
Untuk lakukannya, pergi ke laman web Qibla Finder. Kemudian, anda halakan telefon ke arah yang diminta mengikut anak panah yang tertera. Jika arah kiblat tepat, ia akan menunjukkan ikon kaabah dan jarak anda berada dari kaabah.
2. Kompas digital
Arah kiblat juga boleh ditentukan dengan menggunakan kompas. Tetapi jika anda tidak ada kompas, anda boleh sahaja menggunakan kompas digital seperti yang terdapat pada telefon. Cara menentukan arah kiblat dengannya amat mudah dan tepat.
Sesudah melancarkan aplikasi kompas, anda perlu letakkan telefon pada permukaan rata. Kemudian halakan telefon pintar pada sudut 292 darjah. Jika angka yang dipaparkan tepat pada 292 darjah, arah tersebut menunjukkan arah kiblat. Selain telefon, anda juga boleh menggunakan jam pintar yang dilengkapkan dengan kompas.
3. Menggunakan Google Maps
Selain itu, anda juga boleh menentukan arah kiblat menggunakan Google Maps. Cara ini sebenarnya tidaklah berapa mudah dan tepat untuk menentukan arah kiblat, tetapi ia masih kaedah yang berguna jika tiada cara lain.
Bagi menentukan arah kiblat melalui Google Maps, anda pergi ke lokasi kaabah di peta Google, kemudian tekan lama pada sekitar kaabah untuk gunakan fungsi ukur jarak. Dari situ, anda tekan pilihan ukur jarak dan peta akan menandakan titik pertama di kaabah, kemudian anda perlu alihkan titik kedua kepada lokasi anda berada. Dengan itu, anda dapat tentukan arah kiblat menghala ke arah mana.
4. Aplikasi Huda
Untuk cara yang lebih mudah, anda boleh gunakan sahaja aplikasi muslim. Ada banyak aplikasi muslim yang tersedia dan caranya adalah lebih kurang sama pada semua aplikasi. Untuk mendemonstrasikannya, saya menggunakan aplikasi Huda.
Selepas melancarkan aplikasi tersebut, anda perlu tekan pilihan ‘Qibla’ yang terdapat di bawah. Untuk menentukan arah kiblat, anda hanya perlu halakan telefon anda sehingglah ikon kaabah menghala betul-betul atas telefon anda. Sesudah itu, anda akan dapat arah kiblat yang tepat.
Tetapi, selain daripada kompas, aplikasi ini juga boleh menunjukkan arah kiblat dalam bentuk peta. Jadi anda ada pilihan untuk gunakan kaedah lain berdasarkan situasi. Anda boleh muat turun aplikasi Huda di Apple App Store dan Google Play Store.