AirAsia kini kembali dengan pas penerbangan tanpa had, AirAsia Unlimited Asean International. Pas seumpama ini pertama kali diperkenal pada tahun 2022, memberikan pemegang pas peluang untuk menebus tiket penerbangan percuma sepanjang tahun. Hanya perlu membayar cukai dan penambahan lain yang dibuat seperti bagasi, makanan dan sebagainya.
Harga Pas AirAsia ASEAN Super+ 2024
Untuk tahun 2024, AirAsia hanya memperkenal satu sahaja pas iaitu AirAsia Unlimited Asean International. Tiada lagi pas tanpa had ke seluruh laluan yang AirAsia terbang, termasuk di luar Asia Tenggara.
Pas ini hanya boleh dibeli oleh ahli AirAsia, jika belum menjadi ahli boleh mendaftar secara percuma. Selain itu, pas ini hanya boleh dilanggan menerusi laman web www.airasia.com atau aplikasi AirAsia MOVE.
Walaubagaimanapun, harga pas tanpa had untuk tahun ini telah naik lagi iaitu:
- AirAsia ASEAN Super+ 2024 – RM1,188
Ini peningkatan sebanyak RM300 berbanding tahun lepas, iaitu RM888. Pada tahun 2022 selepas sekatan perjalanan dibuka semula, pas ini diperkenalkan pada harga RM639 sahaja.
Tetapi berbezanya kali ini, AirAsia turut menawarkan pembayaran secara ansuran selama 12 bulan, menjadikan hanya RM99 sebulan. Ansuran tanpa faedah akan ditawarkan dengan kerjasama bank iaitu Maybank, Public Bank, Ambank, dan HSBC.
Tetapi ansuran 12-bulan juga boleh didapatkan melalui BigPay, dengan caj RM8 sebulan menjadikan bayaran bulanannya kepada RM107.
Jualan Awal 3 hari dan diskaun tambahan
AirAsia akan membuka jualan awal pas Unlimited ASEAN Unlimited 2024 selama 3-hari, dari 22 hingga 24 Mac 2024. Mulai pukul 12 tengahari, 22 Mac 2024.
Khas untuk pemegang pas Super+ terdahulu, anda layak mendapat diskaun awal dengan memasukkan kod promo “EARLYBIRD5“.
Selain itu, diskaun tambahan RM50 turut diberikan jika membuat pembayaran menggunakan kad BigPay.
Faedah Pas AirAsia Unlimited ASEAN International
Menurut AirAsia, pemegang pas ini akan menerima lebih banyak ganjaran dan tawaran. Paling utama, pengguna dapat menebus tiket asas penerbangan percuma ke destinasi Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia, Singapura, Vietnam, Kemboja, Myanmar dan Laos.
Pemegang pas juga layak menerima diskaun RM2 untuk menggunakan perkhidmatan e-hailing AirAsia Ride, juga tanpa had. Selain itu, AirAsia turut memberikan satu kali penghantaran ke lapangan terbang KLIA Terminal 1 atau Terminal 2, secara percuma bernilai sehingga RM80.
Pas ini juga memberi faedah untuk tempahan hotel. Diskaun sehingga 50% (maksimum RM50 atau nilai setaranya) bagi tempahan hotel luar negara.
Selain tiket percuma dan pelbagai diskaun tadi, pemegang pas akan menerima mata ganjaran AirAsia Rewards sebanyak 5,000 mata. Ia akan dimasukkan ke dalam akaun pengguna dalam tempoh 7 ke 14 hari selepas tarikh pembelian pas.
Terma dan Syarat menggunakan Pas Unlimited ASEAN International
Jika anda pengguna pas ini dahulu, mungkin anda sudah memahami terma dan syarat penggunaan pas ini, terutama untuk menebus tiket penerbangan. Kepada yang belum tahu, antara perkara penting yang perlu diketahui adalah tempoh tempahan tiket dan tarikh gelap (blackout date).
Pemegang pas perlu menebus tiket selewat-lewatnya 14 hari sebelum tarikh penerbangan. Lagi awal, lagi bagus. Tarikh penerbangan pula dari 1 Mei 2024 sehingga 30 April 2025. Selain itu, pas ini hanya memberikan faedah yang disebut di atas, selama 1 tahun dari tarikh pembelian tiket.
Tiket penerbangan juga hanya boleh ditebus di luar tarikh gelap, bergantung kepada jenis penerbangan iaitu:
- 30 Oktober 2024 – 4 November 2024 : Semua Hari Saints/Souls – Z2
- 19 Disember 2024 – 5 Januari 2025 : Krismas dan Cuti Akhir Tahun – SEMUA PENERBANGAN
- 24 Januari 2025 – 3 Februari 2025 : Tahun Baru Cina – SEMUA PENERBANGAN
- 27 Mac 2025 – 6 April 2025 : Hari Raya – AK/D7/FD/QZ
- 10 April 2025 – 20 April 2025 : Perayaan Songkran – AK/D7/FD/QZ
- 15 April 2025 – 22 April 2025 : Minggu Suci – Z2
Kalau tiket telah ditempah menggunakan pas ini, pengguna boleh tidak menaiki penerbangan tetapi sebanyak 3 kali sahaja. Jika tidak, AirAsia berhak membatalkan pas pengguna.
Lain-lain maklumat tentang pas ini, boleh didapati di laman web pas Unlimited ASEAN International serta di laman terma dan syarat dan laman FAQ.
[Sumber: AirAsia]
Bacaan Berkaitan
- AirAsia Super+ Lite & Premium, terbang murah tanpa had sehingga Jepun, Korea dan banyak lagi
- AirAsia Super+: Pelan tanpa had penerbangan domestik dan Asia Tenggara serta penghantaran makanan
- Pas AirAsia SUPER+: Cara tempah tiket penerbangan, kegunaan insuran COVID-19 & penghantaran makanan tanpa had