Begitu mudah membeli-belah sekarang, semuanya boleh di dapati di internet. Bukan sahaja beli barangan elektrik dan elektronik, kereta pun ada dijual. Contohnya, Volkswagen Malaysia telah membuka stor online mereka di LazMall. Tidak lama lagi, rumah pun boleh dibeli di Lazada.
Pertama kali di Asia Tenggara, pemaju pembangunan terkemuka di Malaysia, Mah Sing dilaporkan akan membuka stor rasmi mereka di LazMall. Pengumuman rasminya akan dibuat pada hari esok, 28 November 2018.
Buat masa ini, laman web rasmi Mah Sing telah mengiklankan kerjasama mereka dengan LazMall. Pautan ini membawa ke stor rasmi Mah Sing di LazMall. Tetapi masih tiada apa disenaraikan di stor tersebut.
Antara projek yang sedang dibangunkan oleh Mah Sing adalah seperti:
- Southville City, Bangi
- M Centura, Sentul
- M Vertica, Cheras
- M Aruna, Rawang
- M Vista, Bayan Lepas
- Meridin East, Pasir Gudang
Pastinya stor di Lazada ini tidak menjual rumah secara terus. Jika caranya sama dengan membeli kereta Volkswagen, bermakna stor di Lazada Mall ini menjadi tempat membuat dan membayar wang tempahan sahaja, sekitar RM1,000. Selepas itu, urusan pinjaman bank dan pembelian akan dibuat di luar talian.
Kita nantikan maklumat lanjut tentang perkara ini dalam pengumumannya esok.