Apple merancang untuk menyegarkan keseluruhan barisan Mac dengan cip M4 yang akan memfokus pada kecerdasan buatan (AI). Peralihan kepada M4 akan bermula lewat tahun ini dengan iMac, MacBook Pro 14-inci dan 16-inci dan Mac mini yang diperbaharui.
Manakala sepanjang tahun 2025, Apple akan menampilkan lebih banyak model dengan cip M4. Ini termasuk MacBook Air 13-inci dan 15-inci, Mac Studio dan Mac Pro.
3 varian cip Apple M4
Walaupun Apple baru sahaja melancarkan MacBook Pro pertama dengan cip M3 pada November 2023, laporan menyatakan Apple sedang “hampir memasuki pengeluaran” cip M4 pertama.
Keluarga M4 akan hadir dalam sekurang-kurangnya tiga variasi utama, termasuk cip M4 peringkat asas yang diberi nama kod Donan, cip Brava untuk peringkat pertengahan dan cip Hidra yang berprestasi tinggi.
Menurut laporan, Apple akan memasukkan cip Donan pada model asas MacBook Pro dan MacBook Air serta model spesifikasi rendah Mac mini. Cip Brava untuk peringkat pertengahan akan digunakan pada MacBook Pro spesifikasi tinggi, Mac mini dan Mac Studio. Manakala cip yang berprestasi tinggi, Hidra akan dipasangkan pada Mac Pro.
Dengan cip M4, Apple dilaporkan merancang untuk “menonjolkan keupayaan pemprosesan AI komponen tersebut dan cara ia akan disepadukan dengan versi macOS seterusnya”.
Laporan tersebut turut menyatakan bahawa sebagai sebahagian daripada peningkatan, Apple sedang mempertimbangkan untuk membenarkan komputer desktop Mac spesifikasi tinggi untuk menyokong sehingga memori sebesar 512GB. Ia merupakan peningkatan daripada had maksimum semasa iaitu 192GB.
Terdahulu, Apple juga dikatakan bakal melancarkan iPad Pro baharu dengan skrin OLED dan iPad Air baharu dengan skrin terbesar 12.9-inci pada bulan depan. Memang banyak perancangan Apple untuk tahun 2024 dan 2025. Sama ada menjadi kenyataan atau tidak, sama-samalah kita nanti.
[Sumber: Bloomberg]