Sony telah melancarkan siri ULT Power Sound terbaru. Ia adalah siri produk kelengkapan audio yang memfokuskan fon kepala dan speaker dengan bass yang berdentum, serta hadir dengan butang ULT khas untuk membenarkan pengguna bertukar antara dua mod bass berbeza. Sebanyak empat produk yang diperkenal dalam siri ini dengan satu daripadanya adalah fon kepala ULT Wear, dan tiga lagi adalah speaker ULT Tower 10, ULT Field 7 dan ULT Field 1.
Fon kepala ULT Wear
Untuk fon kepala wayarles dalam siri ini, Sony menamakannya sebagai ULT Wear. Ia dikuasakan dengan cip V1 Sony yang sama boleh dijumpai di dalam siri fon kepala 1000X. Ia juga lengkap dengan ciri penyaring hingar aktif (ANC) menggunakan teknologi Dual Noise Sensor. Audionya dihasilkan dari pemandu bersaiz 40mm yang direka khusus untuk siri ULT Power Sound, menawarkan bunyi tepat, berdentum, serta berkualiti tinggi.
Selain itu, ia hadir dalam dua mod di mana mod ULT1 akan ada bunyi bass berfrekuensi rendah, manakala ULT2 pula memberikan bass yang lebih berkuasa. Dengan ANC dihidupkan, fon kepala mampu menawarkan masa penggunaan sehingga 30 jam dan sehingga 50 jam jika ANC dimatikan. Ia juga boleh mengecas pantas, di mana pengecasan 3 minit boleh menyediakan masa main sehingga 90 minit.
Terdapat juga sokongan Multipoint Connection untuk sambungan pada dua peranti serentak serta ciri Google Fast Pair melalui Bluetooth 5.2. Sambungan berwayar turut boleh dilakukan menggunakan kabel 3.5mm. Kawalan pad sesentuh juga tersedia, dan fon kepala boleh mengenal pasti sama ada pengguna memakai atau mencabutnya untuk memain dan menghentikan lagu. ULT Wear didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, putih dan hijau.
Speaker ULT Tower 10, ULT Field 7 dan ULT Field 1
Selain fon kepala, turut serta dalam siri ULT Power Sound ini adalah tiga speaker wayarles, iaitu ULT Tower 10, ULT Field 7 dan ULT Field 1. Untuk lebih mudah faham, ULT Field 1 adalah paling kecil kemudian diikuti oleh ULT Field 7 dan juga ULT Tower 10. Namun, hanya ULT Field 7 dan ULT Field 1 yang memiliki kalis air dan debu IP67, tetapi kelebihan ULT Tower 10 adalah ia memiliki unit woofer jauh lebih besar dan lampu Party Light 360 darjah.
Bagaimanapun, berada dalam siri Sony ULT Power Sound, kesemuanya dilengkapi dengan butang ULT bagi membolehkan mod bass ditukar antara ULT 1 dan ULT2.
Harga dan ketersediaan siri Sony ULT Power Sound
Jika berminat, ULT Wear telah mula dijual di Malaysia sekarang pada harga RM899. Anda boleh dapatkannya di stor dalam talian Sony. Lebih menarik, Sony turut menawarkan hadiah percuma berupa speaker wayarles bernilai RM259 untuk pembeli awal jika pembelian dibuat dari 12 April hingga 12 Mei 2024. Hadiah tersebut kemudiannya boleh ditebus sehingga 26 Mei 2024.
Sementara itu, harga kesemua speaker ULT Tower 10, ULT Field 7 and ULT Field 1 masih belum diketahui dan hanya akan tersedia di dapatkan di Malaysia bermula Jun nanti.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Sony ULT Power Sound di sini.