Enjin carian terbesar di dunia, Google dilaporkan telah memecat 28 orang pekerja yang bertindak mengadakan demonstrasi di pejabat Google di Amerika Syarikat. 28 pekerja ini membuat demonstrasi kerana membantah projek pengkomputeran awam yang sangat lumayan tetapi kontroversi, bersama kerajaan Israel dan tenteranya.
Bantahan ini telah diadakan di dalam pejabat Google di New York City dan Sunnyvale, California. Malah, ada pekerja yang dilihat telah memasuki pejabat CEO Google Cloud, Thomas Kurian semasa demonstrasi berjalan.
Pekerja di pejabat di Sunnyvale membuat bantahan selama hampir 10 jam. Ia terhenti kerana mereka ditahan oleh pihak berkuasa. Kumpulan yang menggerakkan protes ini, No Tech For Apartheid mendakwa, Google sendiri yang mengarahkan tangkapan dibuat terhadap pekerja yang berdemonstrasi.
Selepas itu, Google telah memecat 28 orang pekerja yang membuat demonstrasi, dan mengeluarkan kenyataan kepada pihak media Amerika Syarikat bahawa sebilangan kecil pekerja berdemonstrasi telah membuat kekacauan di beberapa lokasi. Syarikat akan memecat 28 orang pekerja selepas membuat kesimpulan berdasarkan siasatan terhadap perkara tersebut.
No Tech For Apartheid pula selepas itu membuat kenyataan mereka, menegaskan bahawa Google mengambil keputusan untuk menangkap mereka, berbanding membuat perbincangan tentang isu yang ditimbulkan tentang kontrak pengkomputeran awan dengan kerajaan Israel. Mereka telah berkali-kali meminta untuk bercakap dengan Thomas Kurian tetapi permintaan itu ditolak. Mereka juga telah cuba untuk berbincang dengan eksekutif Google tentang perjanjian kontroversi itu menerusi saluran dalaman syarikat tetapi tidak berhasil.
Projek Nimbus, kontrak bernilai RM5.7 bilion dengan Israel
Kontrak yang kontroversi ini adalah Projek Nimbus yang bernilai USD1.2 (~RM5.7) bilion, ditandatangani antara Google Cloud, Amazon dan kerajaan Israel pada tahun 2021. Pada waktu itu, Google Cloud menyatakan ia akan pergi ke Israel untuk memudahkan pengurusan pelanggan , serta menyediakan kemudahan pengkomputeran awan untuk membantu Israel di sektor awam seperti perubatan, pengangkutan dan pendidikan. Google juga menafikan pembabitan mereka terhadap kerja-kerja sulit dan sensitif bersama tentera Israel.
Tetapi laporan terbaru TIME Magazine menyebut, Google telah menyediakan perkhidmatan awan kepada Kementerian Pertahanan Israel, serta mengukuhkan lagi kerjasama di dalam peperangan di Gaza. Ia turut menyatakan, Kementerian Pertahanan Israel memiliki laluan khas tersulit ke dalam Google Cloud, memberikan akses kepada perkhidmatan AI serta tempat untuk menyimpan dan memproses data.
Google juga didakwa sedang berunding dengan Kementerian Pertahanan Israel untuk mengembangkan lagi akses Google Cloud, dengan bayaran perkhidmatan rundingan sahaja mencecah lebih USD1 juta. Laporan TIME muncul selepas beberapa media lain mendakwa tentera Israel menggunakan sistem serangan udara berteraskan-AI ketika mengebom Gaza, yang memerlukan infrastruktur pengkomputeran awan.
Google tidak mengeluarkan sebarang kenyataan untuk menjawab artikel TIME. Tetapi ia tidak menghentikan pekerja yang prihatin serta kumpulan No Tech From Apartheid daripada membuat protes dan menyuarakan hasrat tentang pembabitan Google.
[Sumber: CNN, TIME, Google, No Tech From Apartheid]