Bagai buku bertemu ruas, pertarungan kamera kali ini disertai oleh dua wakil Apple dan dua wakil Android. Wakil dari barat berasal dari benua Amerika, Apple iPhone X dan iPhone 8 Plus. Dari timur pula kita ada Samsung Galaxy Note8 dan Huawei Mate 10 Pro.
Di atas helaian spesifikasi, kesemua penyertaan nampak hampir sama. Walau bagaimanapun, keputusan perlawanan bukan saja bergantung pada spesifikasi semata-mata tapi pelbagai pemboleh ubah boleh mengubah angin pertarungan dalam sekelip mata.
Sebanyak enam ujian akan ditempuhi oleh kedua-dua pasukan dan setiap satunya memberikan cabaran yang berbeza. Enam ujian itu adalah:
- Makro
- Kejituan Warna
- HDR
- Cahaya Malap
- Portret
- Swafoto
[nextpage title=”Ujian Makro, Kejituan Warna, & HDR”]
Makro
Dalam ujian makro, kami letakkan sebatang landasan kamera di atas meja dan pada landasan itu terdapat senggatan dalam unit milimeter (mm). Kamera ditambat pada landasan itu dan kami cuba mengambil gambar subjek sehampir mungkin untuk mencari jarak minimum yang mampu difokus oleh telefon.
Galaxy Note8 dan Mate 10 Pro mencatatkan jarak fokal minimum paling pendek iaitu 20mm. Ia bermakna anda boleh berada sehampir 2cm kepada subjek dan masih berjaya membidik fokus. Sebaliknya pada iPhone X dan iPhone 8 Plus ia memerlukan sekurang-kurangnya 30mm untuk membidik.
Yang baiknya tentang gambar makro hasilan kedua-dua iPhone adalah White Balance-nya konsisten dan menyamai dunia sebenar berbanding Android yang agak “ke laut”.
Kejituan Warna
Kesemua telefon menampilkan kejituan warna yang tinggi. Tetapi iPhone 8 Plus memiliki tahap kepekatan yang lebih tinggi lebih-lebih lagi pada warna jingga dan hijau.
Kecuali Mate 10 Pro, tiga baki telefon mempunyai profil warna yang lebih sejuk ataupun menjurus kepada biru sedangkan Mate 10 Pro lebih panas ataupun lebih jingga.
High Dynamic Range (HDR)
Gambar HDR yang baik adalah yang mampu merakam butiran sebanyak mungkin dari bahagian cerah dan gelap persekitaran yang dilihatnya. Misalnya, mengambil gambar dari dalam pejabat ke luar tingkap memberikan cabaran pada kamera kerana ia perlu melihat butiran pada persekitaran gelap pejabat dan juga persekitaran cerah di luar.
Untuk ujian HDR ini, kedua-dua iPhone berjaya menghasilkan gambar yang baik. Mereka menyuntik lebih banyak warna panas untuk menjadikan gambar kearah jingga. Dua wakil Android pula menghasilkan gambar yang lebih sejuk.
Jika dizum pada kawasan gelap dan cerah, prestasi HDR kesemua telefon akan teruji.
Contohnya, pada Mate 10 Pro, kawasan cerah dilihat kurang kontrast dan warnanya agak suram. Kualiti tersebut turut boleh dilihat pada kawasan gelap. Berbeza pula dengan iPhone 8 Plus dan Galaxy Note 8, mereka masih mampu mengekalkan perincian pada kawasan gelap dan cerah.
[nextpage title=”Ujian Cahaya Malap, Potret, Selfie & Kesimpulan”]
Cahaya Malap
Dalam ujian ini, beberapa objek diletakkan dalam satu persekitaran cahaya terhad yang merupakan cabaran terbesar untuk telefon pintar kerana saiz sensornya yang agak kecil. Untuk mengambil gambar, telefon terpaksa menaikkan tahap kesensitifan ISO. Tapi, ISO yang tinggi akan menghasilkan hingar yang akan mencacatkan gambar.
Dalam persekitaran malap, gambar dari lensa iPhone 8 Plus dicerap lebih panas berbanding tiga yang lain.
Untuk tahap hingar, Mate 10 Plus menguruskan hingar dengan lebih berkesan. Jika anda lihat pada gambar zum, hingar pada Mate 10 Plus dan Galaxy Note8 lebih halus berbanding kedua-dua iPhone. Tambahan pula, gambar daripada Android nampak lebih sejuk, konsisten dengan ujian warna dan HDR sebelum ini.
Portrait
Kesan bokeh biasanya dicapai menggunakan kamera yang lebih besar seperti DSLR melalui apertur dan jarak fokal yang panjang. Tapi, disebabkan ruang yang terhad, lensa berjarak fokal panjang tidak boleh dimuatkan pada badan telefon yang nipis sebaliknya konfigurasi dwikamera digunakan untuk menyelesaikan masalah itu.
Kesemua talefon berjaya menghasilkan kesan bokeh yang cantik pada masa kasar.
Tapi, jika pada mata jurugambar yang berpengalaman, masih ada kecacatan pada simulasi bokeh pada kesemua gambar ini. Misalnya, tiga daripada empat gambar gagal memisahkan latar jalan yang berada dibawah ketiak subjek. Hanya Mate 10 Pro berjaya mengenal pasti bahagian itu untuk dipisahkan.
Namun, semua telefon gagal mengasingkan jalan yang berada diantara jeriji pemegang tangan.
Swafoto
Swafoto adalah perkara penting terutamanya pada pengguna wanita. Swafoto yang baik adalah yang mampu membuang cela pada wajah dan pada masa yang sama mencerahkan kulit ataupun sekurang-kurangnya mengekalkan tona warna supaya tidak nampak gelap.
Kedua-dua iPhone dilihat lebih gemar mengekalkan tona warna sambil menyuntik sedikit warna pekat pada hasil gambar untuk menjadikan kulit subjek kelihatan sedikit merah.
Sebaliknya, kedua-dua wakil Android lebih cenderung mencerahkan kulit dan white balance diletakkan di kawasan yang lebih sejuk berbanding iPhone.
iPhone X dan Mate 10 Pro memberi sedikit simulasi bokeh pada bahagian latar subjek untuk menonjolkan ciri-ciri menarik subjek. Tiada sebarang kesan bokeh boleh diliihat pada swafoto hasil daripada iPhone 8 Plus dan Galaxy Note8.
Kesimpulan
Apple iPhone X, iPhone 8 Plus, Huawei Mate 10 Plus, dan Samsung Galaxy Note8 memiliki kamera yang cemerlang. iPhone dilihat memiliki prestasi lebih baik dalam penghasilan imej HDR yang cantik. Mereka berjaya merakam butiran lebih banyak berbanding Android dalam situasi ekstrim gelap dan terang.
Pengiraan White Balance oleh kedua-dua telefon ini juga lebih baik sedangkan Android lebih berada pada spektrum sejuk. Ia boleh dilihat pada ujian swafoto apabila hasil imej daripada lensa iPhone kelihatan lebih semula jadi berbanding Android.
Tapi untuk keadaan dengan pencahayaan terhad, Android memberikan prestasi yang lebih baik dalam menguruskan kesan hingar akibat penggunaan ISO yang tinggi. iPhone pula mungkin mengenakan fungsi de-noise pada gambar mereka yang boleh dilihat pada hingar yang cair dan tidak berbutir-butir.
Kedua-dua Android cemerlang dalam kategori Makro kerana memiliki jarak minimum pemfokusan 2cm ataupun 1cm lebih baik berbanding iPhone.
Harga keempat-empat telefon yang kami uji dalam artikel ini adalah:
- Apple iPhone X bermula RM5,149
- Apple iPhone 8 Plus bermula RM4,149
- Huawei Mate 10 Pro bermula RM3,099
- Samsung Galaxy Note8 bermula RM3,999
Jika diberikan pilihan antara empat telefon ini, saya akan memilih Huawei Mate 10 Pro dek harganya yang jauh lebih murah daripada tiga telefon yang lain. Tambahan pula, antara muka kamera Huawei amatlah intuitif dan lengkap berbanding Apple yang sangat minimalistik dan hanya sesuai untuk amatur.
Note8 pula adalah peranti yang baik, cuma kapasiti baterinya yang agak kecil merencatkan pengalaman mengambil gambar untuk satu jangka masa yang panjang.