Sewaktu acara Computex 2024 yang berlangsung di Taipei, Taiwan, Acer turut memperkenalkan tiga monitor gaming Predator terbaharu mereka iaitu Predator X27U F3, Predator X32 X3 dan Predator X34 X5. Antara perkara yang membuatkan monitor ini istimewa adalah ketiga-tiganya menggunakan panel paparan OLED beresolusi tinggi, serta ada kadar penyegaran pantas sehingga 480Hz.
@soyacincautiktok Monitor Terpantas: Acer Predator OLED 480Hz #monitor #acer #acerpredator #oled #computex #taipei #taiwan #gaming #soyacincautiktok #longervideos #fyp
♬ original sound – SoyaCincautiktok – SoyaCincautiktok
Diklasifikasikan sebagai monitor gaming, kesemuanya memiliki sokongan NVIDIA G-SYNC dan AMD FreeSync Premium Pro yang akan menawarkan pengalaman gaming yang sangat lancar dan juga bebas koyak. Meskipun begitu, terdapat perbezaan antara ketiga-tiga monitor dan ia terletak pada tahap resolusi, jenis lengkungan skrin dan juga kadar penyegaran puncak.
Predator X27U F3

Bermula dengan Predator X27U F3, ia adalah monitor paling kecil berukuran 26.5-inci menggunakan panel paparan OLED beresolusi WQHD (2560×1440). Ia memiliki rekaan cukup sleek dengan bezel nipis yang kelihatan rata di semua sisi. Tetapi apa yang lebih mengagumkan adalah, ia menyokong kadar penyegaran pantas 480Hz dan juga masa respons sangat responsif pada 0.01ms.

Panel paparannya juga ada tahap kecerahan puncak mencapai tinggi 1,300 nits, serta cakupan warna gamut DCI-P3 99% dengan kontras warna 1,500,000:1, di samping memiliki sokongan VESA True Black 400 untuk paparkan hitam yang dalam. Berkenaan sambungan pula, ia memiliki port seperti dua HDMI 2.1, satu DisplayPort dan sambungan USB-C yang menyokong PD 90W.
Predator X32 X3

Seterusnya adalah Predator X32 X3. Seperti namanya, ia ada skrin 31.5-inci menggunakan paparan OLED dengan resolusi 4K Ultra HD (3840×2160). Rekaannya juga memiliki bezel cukup nipis dan sekata di semua sisi, serta menyokong kadar penyegaran pantas, tetapi pada 240Hz dan masa respon 0.03ms.
Kecerahan puncak yang disokong adalah pada paras 1,000 nits dan ia turut memiliki cakupan warna DCI-P3 99% dan juga sokongan VESA True Black 400. Namun, yang menariknya, monitor X32 X3 ini turut sokong kadar penyegaran 480Hz, tetapi jika resolusi diturunkan pada FHD 1080p. Daripada segi penawaran port, ia ada sambungan USB-C, satu DisplayPort dan dua HDMI 2.1.
Predator X34 X5

Akhir sekali dan yang paling besar adalah Predator X34 X5. Ia tampil dengan skrin 34-inci melengkung dengan lengkungan 1800R. Panel paparan OLED-nya mempunyai resolusi UWQHD (3440×1440) dengan kadar penyegaran pantas 240Hz, serta masa respons 0.03ms.
Skrinnya ada kecerahan puncak pada 1,000 nits dan seperti yang lain, panel paparannya turut ada kontras warna 1,500,000:1, cakupan warna DCI-P3 setinggi 99% berserta sokongan VESA True Black 400 untuk tawar warna hitam gelap. Penawaran port-nya juga serupa seperti yang lain menampilkan dua HDMI 2.1, satu DisplayPort dan juga USB-C.

Berkenaan sistem audio, ketiga-tiga monitor adalah sama sahaja dengan dilengkapi dua speaker berkuasa 5W.
Harga dan ketersediaan monitor terbaru Predator
Kedua-dua Predator X34 X5 dan Predator X32 X3 bakal tersedia di Amerika utara, Eropah dan China pada suku ke-4 tahun ini dengan harga USD1,199.99 (~RM5,632) untuk Predator X32 X3 dan USD1,099.99 (~RM5,162) bagi Predator X34 X5. Sementara itu, X27U F3 pula bakal tersedia sekitar suku ke-3 tahun ini pada harga bermula USD1,199.99 (~RM5,632) di Amerika utara, Eropah dan China.