Honor Malaysia hari ini membawa masuk lengkap siri Honor 200 ke dalam pasaran mereka selepas mereka melangkau siri Honor 100 daripada siri Honor 90. Sebanyak dua varian boleh dipilih pengguna dalam siri ini iaitu:
- Honor 200 Pro
- Honor 200
Keuntikan yang ingin diketengahkan Honor 200 adalah mereka bekerjasama dengan Studio Harcourt daripada Perancis untuk menala mode potret telefon ini untuk mendapatkan gaya ikonik studio tersebut.
Tahukah anda yang satu sesi potret di Studio Harcourt boleh menelan belanja kira-kira EUR1,900?
Harga siri Honor 200 di Malaysia
Honor 200 Pro sebagai varian paling berkuasa dalam kalangan yang dilancarkan, dijual pada harga RM2,699. Ia didatangkan dengan storan 512GB. Varian yang lebih mampu milik pula didatangkan dengan opsyen storan 256GB dan 512GB yang masing-masing menerima tanda harga RM1,899 dan RM2,199.
Siri Honor 200 di Malaysia akan mula dijual di gedung-gedung dalam talian dan fizikal pada 28 Jun 2024. Program tempahan awal sudahpun dimulakan sekarang sehingga 27 Jun 2024 ini. Antara manfaat yang menanti penempah awal adalah seperti rebat RM200 ke atas harga telefon hadiah Honor Buds X6, dan juga jaminan tambahan pertukaran sekiranya telefon retak.
Siri Honor 200 boleh didapatkan secara talam talian di Honor.com, Lazada, ataupun Shopee.
Spesifikasi siri Honor 200
Seperti yang dikatakan tadi, Honor 200 Pro adalah varian paling tinggi spesifikasi. Ia diperkasa cip Qualcomm Snapdragon 8s Gen 3, lantas menjadikannya dalam kategori flagship. SoC ini bergandingan bersama RAM 12GB dan storan 512GB.
Di bahagian muka, Honor 200 Pro menggunakan panel paparan 6.78” daripada jenis OLED dengan resolusi 1.5K. Sejurus keluar kotak, telefon ini menjalankan sistem oeprasi MagicOS 8.0, sama seperti Honor Magic6 Pro.
Kelengkapan kamera Honor 200 Pro terdiri daripada 3 buah kamera belakang dan 1 kamera depan. Bermula dari belakang, ia ada kamera utama dan kamera telefoto 50MP dengan kamera utama mengguna pakai sensor H9000, pertama seumapanya di Malaysia. Kamera belakang ketiga ialah kamera ultralebar/makro dengan sensor 12MP. Selfie diambil menggunakan kamera 50MP.
Sistem bateri berkapasiti 5,200mAh memberikan tenaga kepada semua kelengkapan elektronik Honor 200 Pro dan apabila perlu dicas, ia menerima kuasa pada paras 100W melalui piawaian Honor SuperCharge 100W berkabel ataupun 66W secara wayarles.
Beralih pula ke Honor 200. Rekaannya sangat mirip Honor 200 Pro.
Telefon ini menerima naik taraf yang agak minimum berbanding Honor 100. Ia mengekalkan banyak benda daripada model sebelum ini seperti penggunaan SoC yang sama, skrin yang sama, dan kamera yang sama. Perkara yang ditambah baik adalah di bahagian bateri yang sedikit lebih besar, namun masih tiada pengecasan wayarles disediakan untuk varian bukan Pro.
Untuk spesifikasi teknikal, Honor 200 ada skrin 6.7” OLED 1.5K. Atas papan utama, ia diperkasa Qualcomm Snapdragon 7 Gen 3 bersama-sama RAM 12GB dan storan sama ada 256GB ataupun 512GB.
Komponen kameranya sama seperti varian Pro pada segi bilangan kamera dan megapiksel sensornya, namun untuk kamera utama, Honor 200 tidak menggunakan sensor H9000 sebaliknya sensor daripada Sony. Honor 200 ada tiga kamera belakang, bermula dengan kamera utama 50MP, kamera telefoto 50MP, kamera ultralebar/makro 12MP, dan ia juga ada satu kamera selfie 50MP.
Bateri berasaskan silikon karbon berkapasiti 5,200mAh memperlengkap telefon ini.
Bacaan berkaitan
5 Terbaik: Telefon TikTok Live pada harga patut untuk mula jana pendapatan
Honor Pad 9 Pro diperkenal di China, dikuasakan cip Dimensity 8100 dan bateri 10,050mAh
[REVIU] Honor X7b 5G: Telefon 5G murah dengan prestasi bateri paling hebat