Sukan Malaysia edisi 2024 (Sukma) kali ini ada kelainan yang tersendiri. Bertempat di Sarawak, Ia akan jadi Sukma pertama secara langsungnya akan dipancar menggunakan teknologi 5G-Advanced (5G-A). Ia adalah hasil kerjasama antara CelcomDigi, U Mobile, dan ZTE Corp. Ini adalah rentetan daripada memorandum persefahaman yang telah ketiga-tiga pihak menterai dalam Februari 2024 di Barcelona tempoh hari.
Mereka ingin memperagakan kemampuan 5G-A sewaktu acara pembukaan Sukma yang bertempat di Stadium Sarawak dengan kerjasama Radio Telvisyen Malaysia (RTM). Buat pengunjung yang acara pembukaan dengan peranti 5G, mereka bolehlah rasai sendiri kelajuan sambungan 5G-A daripada ZTE.
Mereka menggunakan teknologi seperti mmWave AAU, Carrier Aggregation, dan AI Intelligent RAN bagi mencapai kapasiti melebihi 30Gbps dengan kelajuan 8.5Gbps.
ZTE dan 5G-A bukanlah baharu. Mereka terus menerus mempamerkan keupayaan mereka untuk menyediakan perkakasan generasi baharu itu kepada umum. Ia jadi lebih rancak apabila Malaysia memerlukan vendor untuk menjadi pembekal kelengkapan kepada rangkaian 5G kedua.
Dalam bulan Mei 2024 lalu, mereka telah mengadakan ujian dunia sebenar 5G-A dan mencatatkan kelajuan 28GBps seterusnya menerima pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records.
Apakah 5G-Advanced dan apa kepentingannya kepada pengguna
Sebagai pengguna, hasil akhir yang kita inginkan adalah kelajuan capaian Internet yang tinggi, stabil, serta menyeluruh cakupannya. Secara dasarnya, 5G-Advanced mempunyai objektif untuk mempertingkat rangkaian Internet pada segi keupayaan, kegunaan dan kecekapan. Walaupun bunyinya sama seperti 5G biasa, terdapat beberapa ciri unik yang dibawakan 5G-A iaitu pada segi cara mereka capai objektif tersebut.
Kelajuan 5G dipercepat dengan teknologi seperti Sub-Band Full-Duplex (SBFD) dan Recnfogurabel Inelligent Surface (RIS) yang mempertingkat jalur trafik bagi membolehkannya menampung jumlah pengguna yang banyak pada satu-satu masa.
Kecekapan 5G dipertingkat dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mengawal selia rangkaian secara autonomi dengan penglibatan minimum daripada manusia. Langkah ini mengurangkan kos dan mengoptimumkan rangkaian.
Keupayaan 5G diperluas melalui pengintegrasian komponen baharu seperti kesalinghubungan pemancar di darat dengan satelit. Ia bermakna, capaian 5G boleh disediakan di mana-mana sahaja lokasi, asalkan penggunannya boleh melihat langit.
Sumber: CelcomDigi, U Mobile, ZTE