Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah melancarkan DE Rantau@Terengganu, iaitu sebuah inisiatif untuk menjadikan Terengganu sebagai destinasi atau hab terbaru bagi golongan pekerja nomad digital. Melalui program ini, Terengganu akan disediakan dengan pelbagai fasiliti dan kemudahan untuk membolehkan pekerja nomad digital bekerja secara jarak jauh dengan lebih mudah.
Antara fasiliti yang ditawarkan melalui program DE Rantau ini adalah seperti tempat penginapan di lokasi strategik dan selamat, kemudahan internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan pelbagai kemudahan untuk bekerja secara jarak jauh. Dengan pengumuman ini, Terengganu menjadi lokasi ke-6 DE Rantau yang telah dilancar sejak tahun 202, menyertai lima kawasan lain seperti Pulau Pinang, Langkawi, Melaka, Kuala Lumpur, dan Perak.
Selain bertujuan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan golongan nomad digital, program DE Rantau ini juga diwujudkan untuk memacu penerimaan digital dan pelancongan di Malaysia. Pas DE Rantau Nomad yang diperkenalkan pada tahun 2022 untuk kemudahan imigresen bagi nomad digital bukan warganegara juga telah dipertingkatkan.
Ini kerana, Pas DE Rantau Nomad kini boleh dipohon oleh pelbagai golongan professional dan bukan hanya dalam bidang teknologi. Ini sekali gus membolehkan lebih banyak pekerja profesional dalam pelbagai bidang bekerja jarak jauh sambil melancong di Malaysia.
Satu perubahan penting adalah, syarat untuk mengemukakan Jaminan Bank bagi warganegara Cina dan Bangladesh juga kini digantikan dengan pilihan sama ada bon keselamatan atau bon peribadi. Ini menjadikan Malaysia lebih mudah diakses dan mesra kepada nomad digital warga luar negara. Menurut MDEC, DE Rantau telah menerima lebih daripada 3,500 permohonan dengan 1,741 permohonan diluluskan.
Dalam pada itu, MDEC juga telah bekerjasama dengan 16 Rakan Ekosistem DE Rantau dalam pelbagai sektor termasuk pengangkutan, pelancongan, perkhidmatan pembayaran tanpa tunai, kesihatan, insurans dan ruang kerja bersama (co-working space) untuk memberikan sokongan menyeluruh kepada pekerja nomad digital.
MDEC memaklumkan mereka sentiasa kekal komited untuk mencipta destinasi untuk para nomad digital dapat berkongsi kemahiran, meningkatkan produktiviti, dan mendapatkan inspirasi baharu semasa berada di Malaysia. Keberkesanan DE Rantau dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi untuk nomad digital juga dapat dibuktikan disebabkan Komuniti nomad digital DE Rantau yang semakin berkembang dan aktif menyertai acara dan program yang dianjurkan oleh MDEC.
Sebarang maklumat lanjut anda boleh layari laman web https://www.mdec.my/derantau.