Perkhidmatan Aerotrain KLIA yang tergendala sejak Mac 2023 kini dijangka akan mula beroperasi semula sebelum 31 Januari 2025. Perkara tersebut dimaklumkan sendiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan ia selari dengan pengumuman yang dibuat menteri tersebut pada Mac lepas.
Dua daripada tiga Aerotrain tiba di Malaysia
Untuk perkembangan terbaru, Loke memaklumkan dua set koc Aerotrain telah tiba di Malaysia pada minggu lepas. Kedua-dua tren tersebut kini memasuki fasa pemasangan dan akan memasuki fasa pemeriksaan selepas itu. Menurut Loke, fasa ini akan mengambil masa selama empat bulan.
Secara keseluruhan, MAHB akan menerima tiga set Aerotrain dan setiap set ada tiga koc dan boleh memuatkan kapasiti 270 penumpang. Tren ketiga akan tiba pada Oktober nanti dan akan digunakan sebagai tren simpanan.
Dalam masa sama, Loke turut memberitahu pemeriksaan dinamik Aerotrain akan bermula pada Oktober dan tren akan diuji menggunakan landasan sebenar. Jadi, sekiranya orang awam nampak Aerotrain sedang beroperasi, ia adalah ujian untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar.
Loke mengatakan pemantauan teliti perlu dilakukan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk memastikan semua proses dan ujian dijalankan dengan betul supaya tiada lagi kelewatan yang berlaku. Lebih-lebih lagi apabila Malaysia akan mempengerusikan mesyuarat ASEAN dan antarabangsa pada tahun hadapan, dan Loke menjangkakan Aerotrain sedia digunakan pada ketika itu.
Perkhidmatan bas perantara akan diteruskan
Selain itu, perkhidmatan bas perantara yang diperkenalkan sebelum ini bagi menggantikan Aerotrain juga akan terus digunakan sebagai pilihan, disebabkan pergerakan penumpang yang kini lebih banyak. Namun, tiada maklumat sama ada BMW i7 akan masih diteruskan sebagai pengangkutan khas buat penumpang VIP Malaysia Airlines.
Bagaimanapun, projek baik pulih Aerotrain ini dikendalikan oleh konsortium Alstom, iaitu pengeluar asal peralatan Aerotrain dan juga JMC-Pestech JV yang merupakan gabungan antara IJM Construction Sdn Bhd dan Pestech Technology melalui pemeteraian kontrak bersama Malaysia Airpots pada pertengahan Januari lepas.
[Sumber: Malay Mail]