Berikutan pengumuman pada 13 September lalu, Infinix Malaysia hari ini telah rasmi melancarkan tablet pertama mereka, XPAD untuk pasaran tempatan. Tablet pertama Infinix ini diposisikan sebagai tablet mampu milik dengan sokongan 4G LTE, serta didatangkan dengan skrin besar 11-inci dan ciri AI Folax yang dibangunkan Infinix.
Harga dan ketersediaan Infinix XPAD di Malaysia
Macam yang dijangkakan, tablet Infinix XPAD tersedia dalam dua varian, iaitu WiFi dan 4G LTE. Sementara dua varian itu ditawarkan dalam saiz storan sama, kapasiti RAM yang disediakan adalah berbeza dengan model 4G ada RAM dua kali ganda lebih besar. Berikut adalah harga jualannya di Malaysia.
- Infinix XPAD 4G (RAM 8GB dan storan 256GB) – RM899
- Infinix XPAD WiFi (RAM 4GB dan storan 256GB – RM699
Sempena pelancarannya, Infinix juga menyertakan hadiah percuma berupa sarung papan kekunci untuk pembelian model 4G, manakala sarung tablet untuk pembelian model WiFi. Peminat di Malaysia boleh dapatkan Infinix XPAD bermula 18 September di semua pengedar sah Infinix dan TikTok Shop.
Spesifikasi Infinix XPAD
Infinix XPAD merupakan tablet dengan skrin seluas 11-inci. Ia menggunakan panel paparan IPS LCD dengan resolusi HD Penuh (1920 X 1200) , serta sokong kadar penyegaran 90Hz dan kecerahan puncak 440 nits.
Atas papan utama, tablet ini diperkasa cip MediaTek Helio G99 6nm, bersama RAM LPDDR4X sehingga 8GB dan storan dalaman eMMC 5.1 sehingga 256GB. Kad mikroSD diterima sehingga 1TB untuk menambah storan.
Bateri yang dilengkapkan dalam Infinix XPAD berkapasiti 7,000mAh dan ia menyokong pengecasan pantas 18W melalui USB-C. Sistem pengimejannya menampilkan dua kamera 8MP, satu di hadapan dan satu di belakang. Ia turut memiliki 4 speaker stereo dan jek audio 3.5mm.
Sambungan yang boleh ditemui di tablet adalah seperti Bluetooth dan WiFi 6 tetapi tiada NFC. Tablet ini akan menjalankan sistem operasi Android 14. Infinix menjamin akan menyediakan 2-tahun kemaskini keselamatan. Terdapat tiga warna disediakan untuk Infinix XPAD, antara emas, biru dan kelabu.