Honor telah mengumumkan ciri Circle to Search yang diperkenal Google kini tersedia di tiga peranti mereka, iaitu Honor Magic V3, Honor 200 dan Honor 200 Pro. Circle to Search adalah sebahagian daripada fungsi yang dikuasakan Gemini AI, membolehkan pengguna untuk membuat carian pantas dengan hanya membulatkan sesuatu di skrin.
Contohnya, jika anda terjumpa kasut yang anda minat dalam sesebuah video atau gambar, anda boleh mendapatkan informasi tentang kasut tersebut dengan menekan lama butang ‘Home’ dan membulatkannya. Kemudian Google akan memaparkan carian maklumat yang berkaitan dengannya.
Ciri Circle to Search pertama kali diumumkan pada awal tahun ini, dengan ia hanya tersedia untuk telefon dan tablet Samsung Galaxy, serta siri Google Pixel. Tetapi kini, nampaknya fungsi tersebut semakin disebarluaskan ke lebih banyak telefon Android lain. Ini termasuk siri Xiaomi 14T dan Xiaomi MIX Flip yang dilancarkan hujung bulan September.
Spesifikasi Honor Magic V3
Honor Magic V3 adalah telefon boleh lipat paling nipis, dengan ketebalannya cuma 9.2mm tanpa mengira bonjolan kamera yang dimiliknya. Di bahagian luar, Honor Magic V3 ada paparan luar 6.43” 120Hz FHD+ OLED berkecerahan 5,000nits. Resolusi paparan dalam yang dimilikinya ialah 2376 x 1050.
Apabila dibuka, anda beroleh skrin lebih luas berukuran 7.92” FHD+ LTPO OLED pada resolusi 2344 x 2156. Atas papan utama, Honor Magic V3 dikuasakan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 yang digandingkan bersama RAM 12GB serta storan 512GB. Sejurus keluar kotak, Honor Magic V3 menjalankan sistem operasi MagicIS 8.0.1 berasaskan Android 14.
Untuk bahagian kamera, telefon ini didatangkan dengan kamera utama 50MP F1.6, diikuti kamera telefoto 50MP berupaya zum optikal 3.5x dan kamera ultralebar 40MP. Kamera depan Magic V3 diberikan sensor 20MP dan mampu merakam video dalam resolusi 4K.
Walaupun nipis, bateri berkapasiti 5,150mAh dapat dimuatkan ke dalam telefon ini menggunakan teknologi Silicon-carbon Battery. Ia menyokong pengecasan 66W USB-C ataupun wayarles pada paras 50W. Magic V3 turut diiktiraf kalis air IPX8.
Honor Magic V3 boleh didapatkan oleh mereka yang berminat pada harga RM6,999 untuk konfigurasi RAM 12GB dan storan 512GB di Lazada dan Shopee.
Spesifikasi siri Honor 200
Kedua-dua Honor 200 dan Honor 200 Pro menggunakan panel paparan OLED dengan resolusi 1.5K, ada kadar penyegaran 120Hz dan kecerahan puncak setinggi 4,000 nits. Tetapi saiz skrin Honor 200 Pro sedikit lebih besar pada 6.78-inci, manakala Honor 200 bersaiz 6.7-inci.
Atas papan utama, Honor 200 Pro diperkasa cip lebih berkuasa iaitu Qualcomm Snapdragon 8s Gen 3 yang digandingkan dengan RAM 12GB dan storan dalaman 512GB. Model lebih mampu milik Honor 200 pula dikuasakan cip Snapdragon 7 Gen 3 bersama-sama RAM 12GB dan storan 256GB atau 512GB. Sejurus keluar kotak, kedua-dua telefon ini menjalankan sistem operasi MagicOS 8.0, berasaskan Android 14.
Kelengkapan kamera Honor 200 Pro terdiri daripada tiga buah kamera belakang. Ia adalah kamera utama 50MP mengguna pakai sensor H9000, kamera telefoto 50MP dan kamera ultralebar 12MP. Honor 200 mengekalkan bilangan kamera dan megapiksel yang sama, tetapi kamera utamanya menggunakan sensor Sony IMX906. Kedua-duanya ada kamera selfie 50MP.
Kapasiti bateri yang dimuatkan adalah sama sahaja untuk model Pro dan bukan Pro, iaitu 5,200mAh dengan sokongan pengecasan pantas 100W. Honor 200 Pro ada kelebihan didatangkan dengan pengecasan wayarles 66W.
Siri Honor 200 baru-baru ini telah pun diturunka harga dan ia dijual di Malaysia pada harga berikut:
- Honor 200 Pro (RAM 12GB dan storan 512GB) – RM2,699
- Honor 200 (RAM 12GB dan storan 512GB) – RM1,999
- Honor 200 (RAM 12GB dan storan 256GB) – RM1,699
Kalau berminat, anda boleh dapatkan Honor 200 dan Honor 200 Pro di Lazada dan Shopee.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman spesifikasi Honor Magic V3, Honor 200 dan Honor 200 Pro.
[Sumber: Honor]