Tidak sampai setahun ROG Phone 8 dilancar, kini Asus telah memperkemas semula barisan ROG Phone mereka dengan pengenalan telefon gaming terbaru, ROG Phone 9. Untuk model kali ini, ia masih mewarisi rupa generasi sebelumnya, tetapi didatangkan dengan lampu AniMe Vision yang lebih baik, kapasiti bateri lagi besar serta dilengkapi lebih banyak fungsi AI.
Macam ROG Phone 8 terdahulu, model terbaru ini juga diperkenal dalam tiga model serupa, iaitu ROG Phone 9, ROG Phone 9 Pro dan ROG Phone 9 Pro Edition. Kesemuanya memiliki prestasi sama menggunakan cip terhebat Qualcomm Snapdragon 8 Elite, tetapi perbezaan antara model Pro dan bukan Pro adalah daripada segi panel belakang dan lampu AniMe Vision.
Sementara itu, model Pro dan Pro Edition adalah model yang sama, cuma Pro Edition didatangkan dengan aksesori tambahan kipas penyejuk AeroActive Cooler X Pro, serta memiliki RAM dan storan lebih besar.
Jadi, dalam artikel ini, saya nak kongsikan pandangan awal saya mengenai ROG Phone 9 Pro Edition. Anda juga boleh tonton video kami di YouTube.
Spesifikasi ROG Phone 9 Pro Edition
- Cipset: Qualcomm Snapdragon 8 Elite 3nm
- RAM: LPDDR5X 24GB
- Storan: UFS 4.0 1TB
- Skrin: AMOLED 6.78″ FHD+ 165Hz, 2500 nits
- Kaca: Corning Gorilla Glass Victus 2
- Kamera Hadapan: 32MP
- Kamera Utama: 50MP F1.9 OIS Sony Lytia 700
- Kamera Ultralebar: 13MP
- Kamera Telefoto: 32MP F2.4 OIS 3x zum optikal
- Speaker: Stereo
- Bateri: 5,800mAh
- Pengecas: 65W berwayar, 15W wayarles
- Sistem operasi: Android 15
- Lain-lain: Kalis air IP68, jek audio 3.5mm
Pandangan awal rupa ROG Phone 9 Pro Edition
Secara keseluruhan, rekaan ROG Phone 9 Pro masih tidak berubah berbanding ROG Phone 8. Pro. Ia memiliki bonggol kamera yang terbonjol keluar, serta panel belakang dengan lampu AniMe Vision, yang ini akan diceritakan lebih banyak lagi nanti. Kalau ada perubahan ketara pun hanyalah pada tambahan warna merah di bucu modul kamera dan logo ROG yang sudah dialih ke bahagian kanan. Lain-lain masih sama.
Sisi rata ROG Phone 9 ini sedap dipegang, serta badannya juga nipis dan tidak terasa berat. Cuma, panel belakangnya licin sedikit disebabkan ia menggunakan tekstur matte lembut. Yang bagusnya, panel belakangnya tak mengutip banyak cap jari, buatkan telefon nampak bersih jika gunakannya tanpa sarung. Kalau tak nak calar, pasang sahaja sarung yang Asus bagi dalam kotak.
Semasa melihat skrin, panel paparannya terasa lancar dan responsif, serta boleh pergi agak terang juga. Jadi memang tak ada masalah untuk penggunaan bawah cahaya matahari.
Speaker stereo ROG Phone 9 masih menembak ke depan dan bawah telefon, dan sejujurnya saya agak kagum dengan kualiti audio speakernya sebab ada kelantangan kuat, jelas dan kedengaran penuh. Boleh kata speakernya antara yang terbaik saya pernah dengar di telefon pintar.
Pengalaman gaming sangat lancar
Prestasi tertinggi adalah fokus pada ROG Phone 9. Macam yang dijangka, prestasinya sememangnya lancar dan sangat pantas. Lepas gunakannya buat beberapa ketika, ini adalah telefon paling lancar saya pernah guna. Ini saya kongsikan hasil ujian penanda aras yang ROG Phone 9 ini peroleh di Geekbench 6 dan 3DMark.
Saya cuba uji prestasi sebenar telefon ini dengan bermain Mobile Legends. Permainan lancar pada tetapan grafik Ultra, tetapi kadar bingkai hanya boleh ditetapkan pada High sahaja, bermakna kadar bingkai terhad pada 60fps. Main game berat macam Genshin Impact pun telefon ini tak ada masalah mainkan pada tetapan Highest dengan 60fps, permainan langsung tak tersekat-sekat.
Seperkara menarik tentang skrin ROG Phone 9 ini, ia sebenarnya boleh pergi lebih pantas pada 185Hz semasa gaming kalau aktifkannya melalui Game Genie. Namung begitu, setahu saya, tak ada lagi game yang sokong kadar bingkai sepantas itu, paling laju pun 144Hz.
Tentang butang bahunya pula, ia ada respon yang baik dan tahap sensitivitinya turut boleh diubah dengan pelbagai pilihan, contohnya macam sapu, tekan separuh atau tekan dua kali. Jadi, anda boleh sesuaikan ikut keselesaan.
Fungsi X Sense juga masih ada untuk game macam Mobile Legends, Genshin Impact dan PUBG dengan anda boleh dapatkan bantuan untuk main game. Contohnya di Genshin Impact ada fungsi untuk buat karakter lari berterusan, langkau perbualan, kutip barang dalam game secara automatik. Boleh kata cheat code untuk main game.
AnimeVision yang dipertingkatkan
Seperti yang dikatakan awal tadi, ciri AniMe Vision di ROG Phone 9 Pro kini sudah dinaik taraf. Ia mempunyai lebih banyak lampu LED, sebanyak 648 dot berbanding ROG Phone 8 Pro dulu yang ada 341 dot. Malah, AniMe Vision baharu ini turut boleh disesuaikan dengan fail GIF, membolehkan anda memaparkan lebih banyak jenis imej.
Lebih menarik, kini anda juga boleh main game dengan AnimeVision sebab ia hadir dengan fungsi Anime play. Melaluinya, anda boleh main game retro menggunakan kawalan butang bahu. Contoh game yang ada termasuk Speedy Runner, Snake, Aero Invaders dan Brick Smasher. Setakat ini hanya ada empat sahaja, tetapi mungkin Asus boleh tambah lagi banyak game akan datang.
Aeroactive Cooler X Pro kini ada subwoofer semula
Untuk sejukkan telefon dengan lagi berkesan, anda boleh guna kipas penyejuk Aeroactive Cooler X Pro. Kipas penyejuk terbaru ini Asus dah naik taraf menggunakan bilah kipas 12.5% lebih besar yang dapat meningkatkan peralihan udara, lantas menjadikan penyejukan yang lebih efisien.
Bentuknya juga berbeza dengan AeroActive Cooler 8, tetapi masih dilengkapi dengan butang bahu dan lampu RGB. Oh ya, udara yang dikeluarkan pun dapat sejukkan tangan, jadi ketika bermain game tak adalah berpeluh tangan.
Kalau AeroActive cooler 8 terdahulu tidak memiliki subwoofer, kini Asus dah kembalikan semula subwoofer untuk ROG Phone 9 Pro dengan Aeroactive Cooler X Pro terbaru. Ini membuatkan telefon untuk ada sistem bunyi stereo 2.1 dan bila pasang, ternyata bunyi bass memang lagi berdentum dan pengalaman audio lagi syok.
Banyak fungsi AI, tapi masih dalam beta
Salah satu perkara yang Asus fokus pada ROG Phone 9 Pro ini adalah fungsi AI. Berbanding ROG Phone 8, model terbaru kini dilengkapkan dengan pelbagai fungsi AI dan antaranya adalah AI Call Translator, ciri seperti yang ada di Galaxy AI. Dengannya anda boleh terjemah secara langsung sewaktu panggilan dan ada sokongan bahasa macam Inggeris, Cina, kantonis, perancis, jerman, indonesia dan beberapa lagi lain,
Setakat percubaan saya, ia tak berfungsi berapa baik sebab suara terjemahan daripada pemanggil tak keluar, hanya nampak terjemahan apa yang kita cakap, seolah tak kutip suara pemanggil. Tapi ini mungkin sebab fungsi ini masih dalam fasa beta. Ada juga fungsi AI Transcript untuk anda ubah rakaman suara kepada teks serta rumuskan nota, namun fungsi ni pun sama tak kutip suara dengan baik.
Selain tu, AI wallpaper pula bolehkan anda untuk hasilkan imej penjanaan AI dengan tema berbeza dan juga Circle to Search. Tapi Circle to Search ni masih belum boleh guna dan akan tiba pada suku keempat tahun ini.
Kamera telefon gaming terbaik
Selain prestasi tinggi, sistem kamera ROG Phone 9 Pro ini juga adalah satu kekuatan pada telefon ini. Sejak ROG Phone 8 Pro, Asus dah mula fokus untuk berikan sistem kamera baik pada telefon gaming mereka. ROG Phone 9 Pro ni mampu hasilkan imej baik dan tajam daripada kamera utama, termasuk untuk gambar malam dan potret.
Malahan, kamera telefotonya juga ada hasil agak baik untuk gambar zum 3x, 10x ataupun 30x, iaitu maksimum zum yang boleh dilakukan sebab gambar nampak tajam dengan butiran dapat dikekalkan. Tapi kalau zum 30x boleh nampaklah yang imej dipertingkan dengan pemprosesan AI.
Kualiti gambar menerusi kamera hadapan juga cukup memuaskan. Ini adalah sampel gambar yang saya sempat ambil gunakan ROG Phone 9 Pro ini.
Kamera utama
Prestasi zum
Kamera depan
Lagi menarik, sistem kamera ROG Phone 9 Pro ini turut ada fungsi AI Panning, berikan hasil gambar ada kesan sedang bergerak, seolah gambar diambil dengan ‘Shutter Speed’ perlahan.
Selain tu ia juga ada AI Portrait video untuk rakaman video cinematic dengan latar belakang dikaburkan. Boleh rakam dalam FHD atau 4K. Kalau rakaman biasa pula ia boleh pergi sehingga 8K pada 30fps.
Peningkatan yang berbaloi?
Ada banyak pembaharuan yang Asus berikan untuk ROG Phone 9 Pro berbanding generasi sebelumnya. Setakat ini, ROG Phone 9 baru dilancar di peringkat antarabangsa, masih belum lagi dilancar di Malaysia. Namun, ia juga akan tiba ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Jadi nantikan pemakluman oleh Asus pada masa hadapan.
ROG Phone 9 dilancarkan di peringkat antarabangsa pada harga bermula USD1,000 (~RM4,471) untuk RAM 12GB dan storan 256GB, manakala ROG Phone 9 Pro pula berharga USD1,300 (~RM5,812) untuk storan yang sama. Versi paling mewah ROG Phone 9 Pro Edition dijual pada USD1,500 (~RM6,706), dengan ia didatangkan bersama AeroActive Cooler X Pro dan ada RAM 24GB dan storan 1TB.
Sebagai perbandingan, harga ROG Phone 8 Pro 512GB dijual pada harga RM4,799 tanpa kipas, manakala versi Phone 8 Pro Edition 1TB dijual pada harga RM5,999 yang didatangkan dengan kipas penyejuk sekali.
Apa pandangan anda tentang ROG Phone 9? Adakah anda berminat untuk dapatkannya sekiranya ia tiba di pasaran Malaysia? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen.