Bank Islam dengan kerjasama Mastercard, hari ini telah melancarkan kad debit-i Mastercard Bank Islam yang patuh Syariah, dalam satu majlis yang berlangsung di pusat beli-belah MyTown. Kad debit terbaru ini menawarkan pulangan tunai dan juga akses kepada ganjaran ekslusif menerusi program pelaburan Al-Awfar.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Bank Islam, Mizan Masram berkata, pengenalan kad debit-i Mastercard Bank Islam adalah satu langkah ke hadapan dalam memberikan manfaat luar biasa kepada pengguna, pengalaman pembayaran selamat dan peluang untuk menyumbang kepada inisiatif kelestarian.
Pulangan tunai 1% untuk perbelanjaan di kedai terpilih
![](https://i0.wp.com/bm.soyacincau.com/wp-content/uploads/2025/02/130225-Kad-debit-mastercard-Bank-Islam-10.jpg?resize=1024%2C576&ssl=1)
Bagi meraikan pelancarannya, dari 13 Februari hingga 31 Ogos 2025, pemegang kad debit-i Mastercard Bank Islam boleh menikmati pulangan tunai 1% untuk perbelanjaan tertentu. Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas peniaga yang terlibat, Bank Islam mengatakan yang ia terpakai untuk perbelanjaan dalam kagetori kesihatan.
Selain pulangan tunai, kad ini juga menyediakan akses kepada hadiah Al-Awfar bernilai lebih RM18 juta setahun. Antara hadiah yang termasuk tunai bernilai RM1 juta, kenderaan mewah BMW 320i M Sport dan Honda HRV, motosikal Harley Davidson Road Glide Speacial, jongkong emas 1kg dan pelbagai lagi hadiah lain.
![](https://i0.wp.com/bm.soyacincau.com/wp-content/uploads/2025/02/130225-Kad-debit-mastercard-Bank-Islam-1000.jpg?resize=1024%2C615&ssl=1)
Pemenang akan dipilih menerusi cabutan bulanan, suku tahunan, separuh tahunan dan tahunan, di mana semakin banyak yang disimpan, semakin tinggi kelayakan untuk memenangi hadiah.
Apa itu pelaburan Al Awfar Bank Islam?
Bagi yang tidak tahu, Al-Awfar adalah program pelaburan yang telah diperkenalkan Bank Islam sejak sekian lama. Ia merupakan akaun pelaburan dengan konsep mudarabah yang membolehkan pelanggan terima pulangan berdasarkan perkongsian keuntungan daripada pelaburan bank.
![](https://i0.wp.com/bm.soyacincau.com/wp-content/uploads/2025/02/130225-Kad-debit-mastercard-Bank-Islam-3.jpg?resize=1024%2C768&ssl=1)
Uniknya akaun ini, ia turut berfungsi sebagai akaun transaksi, tidak seperti akaun Simpanan Tetap (Fixed Deposit), sekali gus membolehkan pengguna untuk berbelanja atau melakukan transaksi menggunakan kad debit secara fizikal ataupun dalam talian.
Difahamkan pengguna masih ada pilihan untuk memilih kad debit Visa atau Mastercard terbaru untuk digandingkan dengan akaun Al-Awfar mereka, namun kad debit-i Mastercard Bank Islam baru menawarkan lebih banyak ganjaran sempena pelancarannya.
Sementara itu, Bank Islam turut mengatakan bahawa mereka akan menymbang RM2 bagi setiap kad debit-i Mastercard Bank Islam yang dikeluarkan bermula 13 Februari 2025 kepada Sadaqa House, iaitu platform sosial yang menyokong program zakat dan wakaf.
Acara khas di MyTown dari 13-16 Februari 2025
![](https://i0.wp.com/bm.soyacincau.com/wp-content/uploads/2025/02/130225-Kad-debit-mastercard-Bank-Islam-9.jpg?resize=1024%2C576&ssl=1)
Bersama-sama dengan pelancaran kad debit ini, Bank Islam juga melangsungkan acara khas di pusat beli belah MyTown. Ia akan diadakan selama empat hari, dari 13-16 Februari 2025. Mereka yang membuka akaun Al-Awfar dengan deposit minimum RM1,000 dan memohon kad debit-i Mastercard Bank Islam di acara tersebut akan menerima hadiah menarik.
Dengan pelancaran Kad Debit-i Mastercard ini, Bank Islam terus komited untuk memberikan penyelesaian kewangan yang patuh syariah, inovatif, dan berfaedah kepada pelanggan. Untuk maklumat lanjut tentang program Al-Awfar, anda boleh layari laman web Bank Islam.