Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi dan bekalan tenaga Malaysia, dengan menunjukkan prestasi kewangan yang kukuh pada 2024. Dalam masa sama, TNB juga memastikan kejayaannya membawa manfaat yang sebenar kepada rakyat.
Dengan komitmen untuk melabur semula ke dalam negara, TNB akan menyalurkan sebanyak 60% daripada keuntungan kepada rakyat Malaysia melalui pelbagai inisiatif, termasuk dana pencen, pembangunan ekonomi dan akses tenaga yang lebih mampu milik.
Melabur untuk kemajuan negara Malaysia
Dedikasi TNB terhadap pembangunan negara dapat dilihat dalam Program Lampu Jalan Kampung. Program ini telah memanfaatkan penduduk luar bandar sejak 2000, dengan lebih daripada 525,000 lampu jalan telah dipasang.
Pada 2024 sahaja, sebanyak 14,210 lampu LED cekap tenaga telah dipasang di bawah Fasa 11 inisiatif, yang dibiayai oleh Rancangan Malaysia Ke-12. Dengan tahap keselamatan dan kesalinghubungan yang lebih baik di kampung-kampung ini, TNB mengukuhkan ekonomi tempatan dan meningkatkan kualiti hidup komuniti luar bandar.
Strategi pengagihan keuntungan yang teratur TNB turut memastikan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Berhad (KNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji (LTH) menerima dividen yang akhirnya mendatangkan manfaat kepada rakyat Malaysia, pesara, dan generasi akan datang.
Komitmen terhadap kesejahteraan rakyat

Selain bekalan elektrik, TNB juga aktif menyumbang kepada kebajikan komuniti melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi tumpuan kepada empat bidang utama, iaitu pendidikan, sukan, kesejahteraan komuniti, dan kelestarian alam sekitar.
TNB akan memperluaskan projek pembekalan elektrik di kawasan luar bandar, menyediakan program latihan pendidikan dan kemahiran, di samping membiayai projek lestari berteraskan komuniti.
Tarif elektrik mampu milik untuk semua

Bagi menangani kebimbangan awam mengenai tarif elektrik, TNB memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa tarif elektrik masih dikawal selia oleh kerajaan dan tidak dipengaruhi oleh keuntungan syarikat.

Keuntungan tersebut akan dilabur semula dalam kecekapan grid untuk bantu mengekalkan kadar tarif berpatutan dan mengelakkan sebarang peningkatan yang tidak munasabah. Program seperti insentif solar dan tarif mengikut masa penggunaan turut dihasilkan bagi membantu pengguna mengurangkan bil elektrik.
Memacu masa depan yang mampan

Sedang Malaysia beralih kepada landskap tenaga yang lebih bersih, TNB menerajui usaha untuk melabur dalam tenaga boleh baharu seperti solar, hidro, dan hidrogen hijau, di samping turut meningkatkan kecekapan grid nasional dan mengintegrasikan tenaga hijau.
Selain itu, TNB juga melabur dalam penyelesaian tenaga pintar yang membolehkan pengguna mengurus penggunaan elektrik dengan lebih berkesan.
Untuk meningkatkan kesedaran awam tentang subsidi tenaga yang disediakan kerajaan, bil elektrik untuk 85% isi rumah yang disubsidi akan dilabelkan hijau, lantas melambangkan komitmen kerajaan MADANI terhadap kelestarian dan kesejahteraan rakyat.
Mewujudkan tenaga lestari untuk masa depan Malaysia

Visi TNB melangkaui keuntungan dan ia adalah tentang mewujudkan masa depan di mana setiap rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada tenaga yang stabil, boleh dipercayai dan lestari. Melalui pelaburan semula yang strategik, tadbir urus yang bertanggungjawab dan komitmen terhadap kemajuan negara, TNB terus berkhidmat sebagai syarikat tenaga yang dipercayai di Malaysia.

“Setiap lampu yang kita nyalakan, setiap perniagaan yang kita sokong, setiap rumah yang kita bekalkan tenaga—itulah erti sebenar pembangunan negara. Kami di sini sedia berkhidmat dan menerangi masa depan Malaysia bersama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin.
Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh layari laman web tnb.com.my.